[VIDEO] Suami mengamuk bawa parang, syak isteri curang berdua-duaan di tadika


  • Benua
  • Isnin, 28 Nov 2022

Lelaki berkenaan membawa sebilah parang sebelum mengejar seorang lelaki disangka kekasih isterinya. — Agensi

SEBUAH video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi kecoh apabila seorang lelaki mengamuk sambil membawa sebilah parang kerana mengesyaki isterinya bermain kayu tiga, lapor laman berita iNews Babel pada Khamis.

Berdasarkan video yang dikongsikan oleh pengguna media sosial, seorang lelaki berbaju biru dilihat membawa sebilah parang di hadapan sebuah tadika dalam keadaan marah.

Dia kemudian membuka baju sebelum masuk ke dalam kawasan tadika lalu mengejar seorang lelaki lain yang didakwa kekasih gelap isterinya.

Beberapa individu yang turut berada di situ cuba menenangkan lelaki yang sedang mengamuk itu.

Menurut maklumat, peristiwa itu terjadi di kawasan tadika yang terletak berhadapan dengan pejabat Ketua Kampung Kandang Mas, Kota Bengkulu dalam wilayah Bengkulu, Indonesia.

“Kejadian berlaku pada 9 November lalu, namun ia baru menjadi tular di media sosial beberapa hari lepas,” kata Ketua Kampung Kandang Mas, Khairullah.

Tambah Khairullah, lelaki dalam video tersebut ialah penduduk kampung di kawasan itu dan perkara tersebut sudah diselesaikan dan ia hanyalah salah faham sesama mereka.

Isteri suspek juga dipercayai pekerja di tadika berkenaan.

“Mereka sudah menyelesaikan hal tersebut antara keluarga. Keluarga kedua-dua belah pihak juga telah berdamai dan meminta masyarakat agar tidak lagi menyebarkan video tersebut,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram