TINDAKAN seorang lelaki yang mengasari dan memukul kanak-kanak ketika solat di sebuah masjid di Tebet, Jakarta Selatan, Indonesia mengundang padah apabila dia ditahan polis.
Ketika kejadian, kanak-kanak tersebut dilihat sedang bermain dan berlari dalam masjid berkenaan sebelum didatangi suspek yang secara tiba-tiba memukul mereka.
Meskipun tindakan itu awalnya dianggap sebagai satu amaran buat kanak-kanak terbabit, namun situasi bertambah serius apabila lelaki berkenaan kemudiannya memukul muka dan kepala mangsa berulang kali.
Dikongsikan di laman Instagram, rakaman itu hangat diperkatakan warganet dan menerima kecaman ramai.
Suspek lelaki dikenali sebagai Firman, 51, telah ditahan pihak polis atas kesalahan mendera kanak-kanak tersebut.
Menurut Ketua Polis Metro Jakarta Selatan, AKP Numa Dewi, suspek ditahan di bawah undang-undang Perlindungan kanak-kanak dan boleh berhadapan hukuman penjara sehingga lima tahun.
Serangan itu dipercayai berlaku selepas suspek dipercayai gagal mengawal emosi ketika dipukul balas oleh kanak-kanak terbabit.
Menjengah di ruangan komen, rata-ratanya mengecam perbuatan kejam suspek.
"Hairan kenapa jemaah lain dalam masjid itu boleh berdiam diri dan hanya melihat kejadian depan mata mereka, kanak-kanak itu dipukul berulang kali mustahil jika mereka tidak perasan," kata NurZulaeman.
"Kanak-kanak itu hanya bermain dan bergurau senda, ia perkara biasa dalam masjid jadi kenapa perlu sampai memukul dan bertindak kasar, sudah dewasa sepatutnya bagi nasihat bukan hanya tahu gunakan kekerasan," jelas OdiArman.
"Itu la sebabnya kanak-kanak itu perlu dipantau oleh ibu bapa mereka, bukannya hanya bawa ke masjid lalu biarkan mereka bermain dan membuat bising," tambah Namikazeilya.
Namun kanak-kanak terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kesemuanya terselamat daripada serangan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram