[VIDEO] Jeddah dilanda banjir, 2 nyawa terkorban dihanyut arus deras


  • Benua
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Tangkap layar memaparkan keadaan banjir yang berlaku di Arab Saudi.

Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan maut selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir besar di Jeddah, Arab Saudi pada Jumaat.

Berita tersebut diumumkan jurucakap agensi keselamatan Arab Saudi menerusi Twitter yang turut menasihatkan penduduk mematuhi arahan dan terus berada di rumah sekiranya tiada urusan penting.

Rantau Mekah termasuk Jeddah, merupakan bandar kedua terbesar di Arab Saudi dengan kira-kira empat juta penduduk.

Ia juga termasuk kota Mekah yang menjadi tempat paling suci umat Islam yang mana berjuta-juta orang Islam mengerjakan ibadah haji dan umrah setiap tahun.

Difahamkan, jemaah yang berada di Masjidil Haram sedang melakukan tawaf dan ibadah lain sekitar Kaabah dalam keadaan hujan lebat.

Terdahulu, Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi pada Khamis merekodkan 179 milimeter taburan hujan iaitu yang tertinggi pernah direkodkan di Jeddah, Arab Saudi.

Hujan lebat dilaporkan turun pada Khamis sejak pukul 8 pagi (waktu tempatan) sehingga pukul 2 petang dan beberapa laluan yang menghubungi Jeddah serta Mekah turut ditutup.

Pada masa sama, kejadian banjir besar itu menyebabkan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz terpaksa ditangguhkan termasuk beberapa sekolah ditutup akibat insiden tersebut.

Jeddah dilanda banjir hampir setiap tahun dan pada 2009 kejadian banjir telah meragut 123 nyawa penduduk.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram