TINDAKAN tiga lelaki yang cuba melarikan diri selepas mencuri di sebuah kedai barangan mewah di Bellevue, Washington, Amerika Syarikat, menemui detik memalukan apabila salah seorang daripadanya dilaporkan terhantuk pada pintu cermin premis tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku pada 6 November lalu di kedai barangan jenama terkenal, Louis Vuitton, ketiga-tiga suspek dirakam mengambil beberapa beg yang tersusun di rak sebelum mula melarikan diri.
Dua daripada suspek melarikan diri mengikut pintu depan manakala seorang lagi suspek berusia 17 tahun cuba melarikan diri bersama sebuah beg bernilai RM84,609 mengikut laluan lain.
Dia dilihat cuba merempuh cermin kedai itu tetapi gagal dan jatuh pengsan sebelum dicekup pengawal keselamatan.
Menurut pihak polis, remaja terbabit merupakan pelajar lepasan sekolah juvana dan dipercayai salah seorang daripada anggota kumpulan perompak berkenaan.
"Suspek merupakan seorang yang agresif dan sering melakukan serangan fizikal pada mana-mana individu yang menghalang mereka.
"Rompakan itu mengakibatkan kedai tersebut mengalami pelbagai kerosakan besar sehingga menyebabkan premis itu terpaksa ditutup bagi menjalankan proses pembersihan," kata Shelby Shearer.
Polis kini giat memburu dua lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
Hasil siasatan mendapati, kadar jenayah melibatkan kes kecurian semakin meningkat di beberapa lokasi sekitar bandar Bellevue.
Pada Ogos lalu, empat suspek ditahan atas dakwaan mencuri beg tangan jenama Louis Vuitton bernilai RM437,146 di Bellevue. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram