[VIDEO] Nahas brek 'tak makan', bas hentam deretan kedai makan tepi jalan


  • Benua
  • Selasa, 08 Nov 2022

Tangkap layar memaparkan keadaan kedai makan yang dilanggar sebuah bas akibat brek 'tak makan' di Indonesia.

SEORANG parah manakala empat lagi cedera dalam kejadian bas melanggar deretan kedai makan tepi jalan di Purwataka, Indonesia pada Isnin.

Kejadian tersebut tular di media sosial menerusi akaun Radar Kudus di TikTok dan mendapat lebih 233,900 tontonan.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan premis, kelihatan sebuah bas yang hilang kawalan dan melanggar deretan kedai makan tepi jalan di lokasi kejadian.

Menurut laporan Kompas.com, mangsa, Deden, 35, parah dalam kejadian tersebut. Mangsa tercampak ke jalan raya selepas rempuhan yang berlaku.

Ketua Pejabat Pengangkutan Purwakarta, Iwan Soeroso Soediro menjelaskan, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12.25 tengah hari.

"Hasil siasatan mendapati, kemalangan tersebut berlaku kerana kegagalan brek kenderaan tersebut. Jabatan Pengangkutan dan Unit Trafik Polis Purwakarta pula menyatakan tiada petunjuk pemandu bas sedang membrek," katanya.

Pemilik kedai makan, Desi Purnamasari pula memberitahu, rempuhan bas itu menyebabkan kedainya hancur di bahagian hadapan.

"Kedai saya hancur, tapi kedai milik bapa saudara saya di sebelah, lagi teruk hancur," katanya.

Setakat ini, tiada laporan lanjut berkenaan kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram