SEORANG pekerja di sebuah medan selera 'terkantoi' selepas tindakannya membuang air kecil di sinki dapur dilihat seorang pelanggan di Causeway Point, Singapura pada Selasa lalu.
Pelanggan itu mempersoalkan tindakan pekerja itu sambil merakam video sebagai bukti tindakan kotor pekerja lelaki tersebut.
Pelanggan tersebut yang dikenali sebagai Hisham berkata, dia pada mulanya berada di medan selera itu untuk membeli nasi ayam pada pukul 7.45 malam.
"Ketika sedang menunggu giliran untuk membuat pesanan makanan, saya ternampak seorang pekerja lelaki membuang air kecil di sinki yang dipenuhi dengan alatan makanan yang belum dibasuh.
"Pekerja tersebut tanpa membasuh tangan datang bertemu saya untuk mengambil pesanan sebelum ditegur atas tindakan kotornya itu," katanya.
Menerusi video tular itu, pekerja tersebut tidak menafikan tindakannya dan memberitahu yang dia sudah tidak tahan mahu membuang air kecil.
Sementara itu, pelanggan itu telah membuat satu laporan kepada Agensi Makanan Singapura (SFA).
Wakil SFA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut termasuk pemilik premis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram