Untung atlet sekarang, bekas jaguh para tenis kebangsaan imbau kenangan lalu


  • Podium
  • Sabtu, 05 Nov 2022

Thanga Rajoo kini mengambil upah melipat ‘paperbag’ untuk menyara kehidupannya.

SIAPA menyangka atlet yang dulunya dihujani dengan kata-kata pujian dek kerana memenangi pelbagai anugerah demi tanah air, semakin dilupakan jasanya oleh peminat sukan tempatan.

Bekas atlet tenis para negara, A. Thanga Rajoo mengakui situasi itu turut berlaku kepada dirinya dan lebih mengecewakan apabila layanan berbeza dialami oleh atlet dahulu dan sekarang.

Menurut Thanga Rajoo, atlet negara sekarang perlu sentiasa bersyukur kerana pelbagai insentif yang diberikan oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) berbanding pada zaman dahulu.

Jelasnya, atlet kebangsaan sekarang perlu menghargai jasa pihak MSN dengan memberikan persembahan terbaik pada setiap acara yang diwakili mereka.

“Saya bermain sukan tenis dah 31 tahun. Masa itu tiada macam sekarang. Kini MSN sudah bagi macam-macam. Dulu kami kena urus sendiri. Pergi kerja, balik kerja semua guna duit sendiri.

“Sekarang banyak perubahan. Banyak sokongan dari MSN. Kadang-kadang rasa dengki pun ada. Budak-budak sekarang kena rajin dan bawa nama negara betul-betul,” katanya kepada Majoriti.

YAKEB 2

Noorul Ariffin (kiri) menyantuni Thanga Rajoo pada majlis penyerahan sumbangan bekas atlet kerjasama Yakeb dan Majoriti di PPR, Taman Wahyu pada Jumaat.

Terdahulu, Thanga Rajoo ditemui ketika majlis penyerahan sumbangan berjumlah RM2,500 tajaan Venthill Group (VH Group) di di Program Perumahan Rakyat (PPR), Taman Wahyu, Selayang pada Jumaat.

Selain Thanga Rajoo, tiga lagi atlet menerima bantuan sama daripada VH Group berjumlah keseluruhan RM10,000 menerusi kerjasama syarikat logistik itu bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan Majoriti.

Penyampaian replika cek disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Venthill Group, Simon Wong dan disaksikan Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Atlet berusia berusia 52 tahun itu berkata, bahawa sewaktu menjadi pemain kebangsaan, dia banyak memperoleh bantuan daripada bekas atlet paralimpik negara, Datuk Zakaria Musa.

Dia hanya sempat berasa insentif dari MSN sewaktu lima tahun terakhirnya sebagai atlet tenis para negara.

rajoo

Majlis sumbangan VH Group kepada bekas atlet Thanga Rajoo dengan kerjasama Majoriti dan Yakeb.

“Saya dengan MSN hanya lima tahun dan bersara selepas itu. Tidak banyak kelebihan tapi MSN kini dah berada dalam jalan yang betul.

“Sekarang ini rasa berbaloi sebab Yakeb ada dan sentiasa hargai jasa kami. Yakeb satu-satunya yang hargai kami,” tambahnya.

Selepas bersara daripada dunia sukan, Thanga Rajoo menyara kehidupan dengan menjual kacang putih, kraftangan dan terbaharu mengambil upah melipat ‘paperbag’.

Untuk rekod, antara acara yang dimenanginya ialah kejohanan tenis Terbuka British 1997 (beregu lelaki) serta muncul naib juara kejohanan tenis kerusi roda Terbuka Catalonia 1998 di Sepanyol.

Acara yang paling diingatinya ialah memenangi pingat perak dalam acara beregu lelaki bersama rakannya, Zulkifli Mohd Ali pada Sukan OKU Timur Jauh dan Pasifik Selatan 2002 yang berlangsung di Busan, Korea. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram