[VIDEO] Lelaki ‘bersiar-siar’ bawa pisau pusing bandar buat orang ramai kecut perut


  • Tular
  • Rabu, 02 Nov 2022

Tangkap layar seorang lelaki dilihat membawa senjata tajam di sekitar kawasan Masjid Telipot, Kota Bharu, Kelantan.

AKSI seorang lelaki yang didakwa kerap membawa senjata tajam di tempat umum di sekitar Kota Bharu, Kelantan, mengundang kebimbangan orang ramai.

Perkara tersebut dikhuatiri akan mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat sekiranya lelaki terbabit bertindak di luar kawalan.

Berdasarkan rakaman yang dimuat naik ke media sosial menerusi akaun TikTok, Lany Isha, kelihatan lelaki terbabit mengasah senjata tajam milkinya dipercayai sebilah pisau dengan menggunakan batu.

Batu tersebut diambil berhampiran dengan simpang isyarat Masjid Telipot, Jalan Telipot.

Berdasarkan kenyataan di video, lelaki itu dipercayai beberapa kali dilihat membawa senjata tajam di tempat umum.

“Ini kali kedua tengok hamba ALLAH ini pegang benda tajam sambil melepaskan kemarahan. Mohon pihak keluarga beliau atau pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlaku hal yang tidak diingini,” katanya.

Susulan daripada itu, beberapa pengguna media sosial lain turut mengharapkan agar pihak berkuasa mahupun keluarga lelaki berkenaan mengambil segera mengambil tindakan.

“Bahaya ini. Harap ada tindakan dari pihak berkuasa sebelum terjadi perkara yang tidak diingini,” kata Nur Syamimi Kamil.

“Tak silap saya, dia ini yang membaling objek ke arah cermin kereta di lampu isyarat Pasir Pekan, KB Mall baru ini,” kata Ouuuuuuuuuu.

“Hari itu tengok dekat lampur isyarat Wakaf Che Yeh, pegang pisau dengan kayu (lebih kurang begitu). Selepas itu dia baling kayu itu di tengah jalan. Sikit lagi hendak mengenai seorang pak cik yang menunggang motosikal,” kata Aten Areyou.

Melihat kenyataan itu, pengguna media sosial lantas berasa bimbang sekiranya lelaki itu akan mengakibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya atau orang awam lain.

Sementara itu Majoriti difahamkan tiada laporan polis dibuat berkaitan insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram