Penumpang cemas enjin pesawat terbakar sebelum berlepas


  • Benua
  • Selasa, 01 Nov 2022

Rakaman insiden yang dirakam oleh penumpang dari dalam kabin menunjukkan detik ketika api berwarna jingga tercetus di bahagian enjin pesawat.

LEBIH 180 penumpang sebuah pesawat di India mengalami detik cemas apabila salah sebuah enjin pesawat itu terbakar semasa berlepas yang memaksa seramai 184 orang dipindahkan, lapor MailOnline pada Sabtu.

Insiden itu melibatkan pesawat milik syarikat penerbangan IndiGo.

Kejadian berlaku semasa pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi menuju ke ibu negeri Kartanaka, Bangalore.

Kebakaran mula dikesan ketika pesawat itu bergerak di landasan, menyebabkan juruterbangnya bertindak pantas dengan membatalkan penerbangan.

Rakaman oleh penumpang menunjukkan api berwarna jingga muncul di bahagian enjin pesawat.

Penumpang turut melaporkan terdengar bunyi letupan kuat sebelum melihat kebakaran berlaku.

Tiada penumpang dilaporkan cedera, manakala pesawat IndiGo itu dapat dikosongkan dengan selamat.

Menurut seorang penumpang, pesawat itu sedang bergerak laju dan hampir berlepas sebelum kebakaran berlaku.

“Semua orang cemas. Saya tidak tahu berapa ramai orang melihat enjin pesawat terbakar kerana ramai penumpang terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak duduk di barisan tersebut,” katanya.

Syarikat penerbangan IndiGo berkata, pesawat tersebut mengalami masalah teknikal, justeru, juruterbang membatalkan prosedur berlepas.

“Semua penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat. Sebuah pesawat alternatif kemudian membawa semua penumpang yang terkandas serta berlepas pada pukul 12.16 tengah malam,” kata syarikat tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram