Teruskan legasi keluarga, 2 beradik sedia platform bantu wanita tambah pendapatan


Nazkids menumpukan kepada produk utama iaitu baju tradisional buat kanak-kanak dan bayi. — Foto Ihsan Nazkids

LUMRAH bidang perniagaan jika sesuatu bisnes yang diceburi tidak mendatangkan kejayaan seperti yang diharapkan.

Demikian yang terjadi kepada dua beradik, Baitulhusna, 34, dan Khairunnisa, 36, yang mengusahakan perniagaan jualan baju kanak-kanak di bawah jenama Nazkids di Jitra, Kedah.

Sebelum bisnes itu berjaya seperti hari ini, Baitulhusna pernah menjalankan bisnes cetakan baju kemeja-T, namun gagal mendapat sambutan.

Dia yang sanggup berhenti kerja dalam sektor korporat pada 2014 untuk menjalankan perniagaan itu terpaksa berputih mata selepas simpanannya banyak dibelanjakan bagi tujuan tersebut.

Keadaan itu mendorong Baitulhusna untuk mengambil cuti dan melakukan kerja sukarela di negara luar seperti Laos dan Vietnam buat sementara waktu.

"Ketika itu saya sedar bahawa saya suka menolong orang. Dan saya mahu membawa perubahan positif kepada rakyat Malaysia.

"Pada masa itu, banyak perniagaan lain yang kurang menjadi. Harga untuk produk tidak sepadan dengan kenaikan kos dan ramai peniaga sukar mendapat keuntungan," katanya kepada Majoriti.

Nazkids founders Baitulhusna Ahmad Zamri (front right) and Khairunnisa Ahmad Zamri (front left) posing together with some of the Nazkids women during an outing to a local shopping mall.(23 July 2022) - Photos provided by Baitulhusna Ahmad Zamri

Baitulhusna (kiri) dan kakaknya, Khairunnisa bergambar bersama sebahagian pekerja Nazkids yang menjadi 'tulang belakang' perniagaan itu. — Ihsan Nazkids

Mengulas lanjut, Baitulhusna berkata, ketika itulah dia terfikir untuk menukar model perniagaan kepada jualan baju kanak-kanak di bawah Nazkids.

Menurutnya, nama Naz diambil daripada gabungan singkatan nama ibu dan bapanya manakala 'kids' pula merujuk kepada dia dan kakaknya.

"Ibu bapa saya juga berniaga dan memiliki kedai jahit, jadi saya mahu meneruskan legasi mereka dalam perniagaan ini.

"Pada masa sama, Nazkids membolehkan saya mencari rezeki sambil melakukan sesuatu yang saya minati iaitu membantu masyarakat dengan memperkasakan belia dan wanita," katanya.

Menurutnya, kebanyakan wanita di Jitra tidak berpendidikan tinggi yang menyukarkan mereka berdaya saing dalam alam pekerjaan.

A toddler modelling a striking gold and white set of Nazkids' baby baju Melayu with sampin and tengkolok. (25 July 2022) - Photos provided by Baitulhusna Ahmad Zamri

Set baju Melayu mini dengan sampin dan tengkolok yang sepadan mendapat tempahan tinggi pelanggan. — Ihsan Nazkids

Selain itu, katanya, ramai yang berkahwin awal dan ada sesetengah pasangan juga kurang menggalakkan isteri bekerja kerana lebih suka mereka menguruskan hal rumah tangga.

"Memiliki hanya satu sumber pendapatan menyukarkan mereka untuk menyara hidup.

"Namun di sebalik itu, saya mendapati kebanyakan wanita di sini mempunyai kemahiran asas jahitan," ceritanya lagi.

Bertutur lanjut, Baitulhusna berkata, bertitik tolak dari situ, Nazkids mengambil peluang menyediakan latihan dan platform untuk mereka menjual pakaian secara dalam talian.

"Matlamat utama kami adalah untuk membantu mereka berdikari. Dengan mengajar golongan wanita ini cara membuat produk, kaedah jualan dan cara mencari pelanggan, mereka berkeupayaan menjadi usahawan.

"Dan jika mereka meneruskan kitaran ini dengan mengajar orang lain, impak positif kepada masyarakat akan semakin meluas," jelasnya.

Berpengalaman dalam bidang pemasaran, Baitulhusna berkata, Nazkids berjaya membantu lebih 100 wanita sejak inisiatif itu dimulakan pada 2015.

"Bagi yang tidak dapat bekerja sepenuh masa, mereka masih boleh melakukannya dari rumah dan kami menyediakan semua peralatan daripada mesin jahit hingga fabrik, jarum dan gunting.

"Bayaran diberikan berdasarkan bilangan produk yang dihasilkan setiap hari, minggu atau bulan.

"Jika mereka dapat menghabiskan kuota produk Nazkids lebih awal, mereka bebas menggunakan mesin jahit untuk membuat tempahan pelanggan lain. Ini membolehkan mereka menjana pendapatan daripada pelbagai sumber," katanya.

71662263727_freesize

Pelbagai pilihan corak pelitup muka songket yang dihasilkan oleh Nazkids. — Bernama

Baitulhusna memberitahu, produk Nazkids dijual di platform media sosial dan laman web rasmi Nazkids selain platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada.

"Kami juga berjaya menembusi pasaran Brunei dan sedang bekerjasama dengan rakan kongsi di sana untuk menjual produk secara online dan fizikal," tambahnya.

Nazkids menumpukan kepada produk utama iaitu baju tradisional buat kanak-kanak dan bayi.

Katanya, pelanggan boleh mendapatkan set baju Melayu mini dengan sampin dan tengkolok yang sepadan.

"Kami mendapat banyak tempahan untuk kenduri akikah dan semasa musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha," katanya.

Selain itu, Nazkids juga tampil inovatif dengan menghasilkan pelbagai produk berasaskan songket seperti pelitup muka, rantai kunci dan macam-macam lagi.

"Produk seperti pelitup muka songket mendapat permintaan tinggi kerana pelanggan mahu menggayakannya untuk majlis nikah dan kenduri kahwin," katanya.

Sementara itu, Baitulhusna berharap inisiatif sedemikian dapat dicontohi untuk memperkasakan lebih ramai wanita.

"Usaha ini dapat membantu mengubah kitaran ekonomi, menjana peluang pekerjaan dan menyediakan platform untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

"Semoga usaha kami memberi inspirasi kepada orang lain untuk memulakan inisiatif yang sama," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram