PENYOKONG Terengganu FC (TFC) pastinya masih belum dapat melupakan kehebatan pemain tengah dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang pernah menyarung jersi pasukan itu dua tahun lalu.
Ketika beraksi bersama Sang Penyu selama dua musim, iaitu 2019 dan 2020, pemain berusia 32 tahun itu merupakan antara tunjang pasukan yang dianggap sebagai nadi menjana serangan TFC.
Walaupun hanya beraksi selama dua musim, bekas pemain kebangsaan Uzbekistan ternyata meninggalkan kesan di hati penyokong TFC.
Sepanjang bersama Terengganu selama dua musim, Sanjar Shaakhmedov menjadi aset pasukan dengan kelebihannya mencipta ‘assist’ buat rakan sepasukan dan berkemampuan menghasilkan gol dari luar kotak.
Baru-baru khabar angin dalam kalangan peminat menyatakan pemain berusia 32 tahun itu bakal kembali menyarung jersi skuad penyu untuk mengisi slot pemain import musim hadapan.
Sanjar menjadi aset pasukan dengan kelebihannya mencipta ‘assist’ buat rakan sepasukan dan berkemampuan menghasilkan gol dari luar kotak. — Facebook/Terengganu FC
Namun, tinjauan Majoriti di ruangan komen Facebook mengenai perkhabaran itu tidak mendapat reaksi yang positif daripada kalangan penyokong-penyokong Terengganu.
"Rehat sahajalah, bazir duit pula nanti, lagi pun Sanjar Shaakhmedov itu dah tua," ujar Rosli Lie.
"Mahal dia ini kalau nak ambil sekarang ini, mungkin lebih mahal dari pemain JDT," jelas Syed Fahmi Tuan Long.
"Daripada ambil Sanjar, lebih baik naikkan gaji Faisal Halim," luah Walid Anas Anis.
"Tak perlu kitar semula import, cari yang baharu kalau boleh muda dan bertenaga nak main Piala AFC musim depan," kata Yusof Matamin.
Sanjar pulang ke negara asalnya untuk beraksi di Liga Super Uzbekistan bersama AGMK Olmaliq. —
Agensi
Sebagai rekod, pemain berketinggian 1.73 meter ini membuat 37 penampilan dan menjaringkan 16 gol ketika bersama Terengganu.
Selepas meninggalkan Malaysia, Sanjar pulang ke negara asalnya untuk beraksi di Liga Super Uzbekistan bersama AGMK Olmaliq selama satu musim.
Musim ini, pemain itu menyertai kelab Qizilqum Zarafshon yang juga beraksi dalam liga utama Uzbekistan itu.
Mungkin kehadiran Sanjar Shaakhmedov diperlukan pihak pengurusan kerana pemain itu berpengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram