Selain Tambun dan Pekan, 3 lagi kerusi panas jadi rebutan PRU15


  • Politik
  • Isnin, 31 Okt 2022

Parti mula menyenaraikan calon berprofil tinggi sebagai strategi meraih kemenangan.

PERTEMBUNGAN calon berprofil tinggi di beberapa kawasan bakal menghangatkan lagi suasana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.

Terdapat beberapa kawasan yang menjadi kerusi panas yang semestinya meningkatkan 'suhu politik' sepanjang tempoh kempen bermula selepas penamaan calon dilakukan pada 5 November ini.

Calon parti itu sendiri pastinya sudah mula menyiapkan strategi memikat hati pengundi dengan pelbagai sentimen emosi untuk meraih kemenangan.

the star

Jentera parti juga akan mula bersiap sedia untuk 'berperang' termasuk memeriahkan suasana dengan memasang bendera di kawasan-kawasan tertentu.

Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan penugasan di semua kawasan di seluruh negara yang dikenal pasti menjadi hotspot pada PRU15.

Difahamkan, terdapat kurang 100 kawasan hotspot dikenal pasti menerusi risikan PDRM melibatkan kempen dan sentimen emosi parti-parti bertanding.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penugasan telah dibuat sebagai usaha meredakan suasana.

Masyarakat yang terlibat kempen juga dinasihat berkempen secara berhemah dan tertib dengan mematuhi batas-batas peraturan ditetapkan.

Berikut, Majoriti senaraikan beberapa kawasan yang dijangka menjadi kerusi panas pada PRU15 kali ini:

WhatsApp Image 2022-10-30 at 6.00.47 PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

Parlimen Tambun

Pada 20 Oktober lalu, Pakatan Harapan mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Tambun.

Pengumuman ini secara tidak langsung akan menyaksikan jangkaan pertembungan dengan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tidak gentar dengan pengumuman tersebut, Ahmad Faizal sempat mengucapkan selamat datang kepada Anwar namun mengingatkan Presiden PKR itu adalah calon luar dengan mengaitkannya dari segi penggunaan loghat tempatan di Tambun yang berbeza di tempat lain di luar Perak.

Pertembungan calon berprofil tinggi ini sudah pastinya dinantikan semua pihak, sama ada Anwar mampu menewaskan Faizal seterusnya menawan negeri Perak atau sebaliknya akan berlaku.

WhatsApp Image 2022-10-30 at 6.02.08 PM

Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Rina Harun dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Parlimen Titiwangsa

PRU14 menyaksikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) tewas di kubu kuat BN tersebut kepada Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

Namun, terdapat khabar angin mengatakan Rina akan bertanding di Parlimen Sepang pada PRU15 kali ini, secara tidak langsung memberi laluan mudah kepada Johari merampas kembali kawasan tersebut.

Pada masa sama, kerusi panas itu turut diintai parti Amanah dengan menaruh harapan kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad untuk menakluki Parlimen Titiwangsa.

Lebih menyukarkan, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga dilaporkan akan memberi saingan sengit di kerusi tersebut,

Ia secara tidak langsung menyaksikan saingan sengit dari pelbagai penjuru selepas semua parti meletakkan calon berprofil tinggi di kawasan tersebut.

WhatsApp Image 2022-10-30 at 6.03.20 PM

Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid

Parlimen Bagan Datuk

Kerusi panas seterusnya melibatkan Parlimen Bagan Datuk yang akan menyaksikan pertembungan antara Giant Killer, bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Shamsul Iskandar dikenali sebagai giant killer selepas berjaya menewaskan Ketua Menteri Melaka yang juga pemimpin Umno tersohor, Tun Ali Rustam pada PRU13.

Pertembungan ini secara tidak langsung menimbulkan pelbagai persoalan antaranya adakah Presiden Umno itu mampu menundukkan bekas Ketua Penerangan PKR itu atau sebaliknya Shamsul terus melakar sejarah dengan mengekal reputasinya sebagai giant killer.

Persoalan itu akan terjawab selepas tempoh membuang undi tamat dan keputusan berada di tangan pengundi untuk memilih calon yang dirasakan mampu menjaga kawasan tersebut.

WhatsApp Image 2022-10-30 at 6.06.27 PM (1)

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Abas Awang

Parlimen Bera

Parlimen Bera bakal menyaksikan pertembungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan bekas pengarah pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abas Awang dari PKR.

Pada masa sama, Ismail yang juga Naib Presiden Umno turut menyatakan keterbukaan untuk berdepan sesiapa sahaja untuk bertanding di kerusi Parlimen Bera.

Ia secara tidak langsung memberi cabaran besar kepada Abas untuk cuba menyelusup di wilayah kuat BN menentang orang nombor satu negara.

Segala percaturan PKR dalam usaha merampas Parlimen Bera akan terjawab selepas pengiraan undi dilakukan.

WhatsApp Image 2022-10-30 at 6.04.56 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Mohd Naim Zainal Abidin

Parlimen Pekan

Parlimen Pekan menjadi kubu kuat BN sejak sekian lama di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman di penjara Kajang.

Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa pada 23 Ogos lalu.

Untuk rekod, Najib berjaya mengekalkan kemenangan selama tujuh penggal sejak tahun 1986 dan ini menunjukkan satu pencapaian yang agak luar biasa kerana penduduk Pekan, Pahang meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk menjaga kawasan tersebut.

Namun dengan hukuman penjara yang dijalaninya, Najib tidak akan bertanding pada PRU15, sekali gus memberi peluang kepada muka baharu untuk mengekalkan kubu kuat BN itu.

Terdapat khabar angin yang mengatakan anak beliau iaitu Nooryana Najwa Najib akan menjadi calon untuk mempertahankan kerusi namun dakwaan tersebut ditolak Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly.

Difahamkan, Umno bahagian Pekan telah menghantar lima nama calon ke peringkat negeri dan akan diputuskan oleh pucuk pimpinan pusat.

Pada masa sama, PKR cuba merampas Parlimen Pekan dengan mencalonkan ahli jawatankuasa PKR cabang Pekan, Mohd Naim Zainal Abidin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram