Remaja 'psiko' berparang ugut pemandu wanita di lampu isyarat


  • Benua
  • Ahad, 30 Okt 2022

Mangsa sempat merakam kejadian tersebut sambil suspek beberapa kali melibas-libas parang sambil tersenyum sinis ke arah kamera. — Agensi

SEORANG wanita di Queensland, Australia berdepan detik-detik cemas apabila keretanya cuba dirampas seorang individu yang bersenjata ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat, lapor akhbar The Sun pada Sabtu.

Mangsa, Ash Massacre berkata, lelaki itu memegang sebilah parang dan mengetuk cermin tingkap keretanya dalam usaha memasuki kenderaan tersebut.

Massacre sempat merakam kejadian tersebut sambil suspek beberapa kali melibas-libas parang sambil tersenyum sinis ke arah kamera.

Selepas gagal membuka pintu, suspek akhirnya berlalu pergi dengan senjata tajam itu masih berada di tangannya.

“Ia benar-benar satu situasi yang menakutkan.

“Saya tergamam dan terkejut kerana perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” tulisnya pada video yang dimuat naik di TikTok.

Seorang suspek berusia 21 tahun berjaya ditahan selepas polis dimaklumkan tentang kejadian itu.

Dia didakwa kerana mengancam keganasan, cuba memasuki kenderaan secara tidak sah dan menghalang polis.

Polis Queensland berkata, suspek akan dibicarakan di mahkamah pada Disember ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram