[VIDEO] Samseng pau duit pengemis, 'sapu' semua hasil kutipan sampai licin


  • Benua
  • Khamis, 27 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang pengemis dirompak dua lelaki samseng di Indonesia.

SEORANG pengemis menjadi mangsa rompakan apabila wang dan beg galasnya dirampas dua individu dipercayai samseng di sebuah kawasan berhampiran Jalan Merbau simp Punak, Medan Petisah, Medan, Sumatera Utara Indonesia baru-baru ini.

Ketika kejadian, pengemis itu cuba mempertahankan dirinya daripada diganggu, namun kedua lelaki tersebut terus bertindak kasar apabila merampas wang daripadanya.

Dikongsikan di laman Instagram, rakaman itu menerima lebih 600,000 jumlah tontonan setakat ini.

Berdasarkan video tersebut, suspek berseluar biru dan memakai topi itu dilihat melakukan kekerasan kepada pengemis tersebut sambil diperhatikan seorang lagi rakannya di sebelah.

Selepas merampas beg dan wang, samseng itu kemudiannya menyeluk poket mangsa untuk memeriksa lebihan wang.

Meskipun insiden itu berlaku di khalayak ramai, namun tiada seorang pun orang awam yang menghalang kejadian itu.

Di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan kedua-dua samseng terbabit.

"Tangan, kaki semua ada pergi cari kerja jangan ambil jalan mudah mencuri duit orang, sekurang-kurangnya dia mengemis bukannya mencuri," kata tyowibowo.

"Lepas rampas hak orang lain boleh jadi kaya ataupun bahagia ke? Sepatutnya kita orang Islam makan daripada hasil yang halal kerana ia akan menjadi darah daging kita," jelas rwinwidianto.

"Kasihan pengemis itu, kenapa diperlakukan sedemikian, seharian wang yang dikumpul dirampas pencuri begitu sahaja," tambah dedeknoviie. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram