[VIDEO] Pesawat Lion Air terpaksa melencong, enjin terbakar di udara cetus panik 169 penumpang


  • Benua
  • Khamis, 27 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan sebuah pesawat Lion Air JT-330 mengalami kebakaran di bahagian enjin.

PENUMPANG pesawat Lion Air JT-330 dari Jakarta ke Palembang di Sumatera Selatan, Indonesia menampuh detik cemas apabila enjin pesawat itu terbakar ketika di udara.

Kejadian itu berlaku selepas pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II pada Rabu.

Enjin sebelah kiri pesawat terbabit dilihat berapi dan berasap sekali gus mencetuskan situasi cemas kepada 169 penumpang dalam pesawat itu.

Dikongsikan di laman Instagram, rakaman kejadian dimuat naik oleh salah seorang penumpang.

Susulan insiden itu, juruterbang kemudiannya memutuskan untuk menukar haluan pesawat dan mendarat semula di lapangan terbang asal.

Pegawai Komunikasi Korporat Lion Air, Danang Mandala Prihantoro tampil mengesahkan kejadian itu.

"Bagi memastikan keselamatan dan situasi penerbangan dalam keadaan terbaik, juruterbang membuat keputusan untuk kembali semula ke lapangan terbang di Bandar Udara Soekarno-Hatta,” katanya.

Difahamkan, pesawat berkenaan membawa seramai enam kru serta 169 penumpang dan kesemua mereka dilaporkan selamat sebaik pendaratan berjaya dilakukan.

Mereka kemudiannya diterbangkan ke Palembang dengan sebuah pesawat pengganti.

Turut tampil membuat kenyataan, Pegawai Perhubungan Awam Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) Anggo Anurogo yang memaklumkan berdasarkan data ketua sub-Suruhanjaya Penerbangan, tiada siasatan dijalankan terhadap insiden itu.

"Juruterbang menjalankan operasi mengikut prosedur apabila mendapati salah satu komponen enjin pesawat tersebut mengalami masalah,” jelasnya.

Mengulas lanjut berhubung kejadian itu, Danang berkata, Lion Air menjalankan tugas mengikut peraturan ditetapkan dengan menghantar kesemua penumpang ke destinasi yang dituju menggunakan pesawat ganti.

"Lion Air memohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan yang berlaku," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram