KES pembuangan bayi kian meruncing dalam kalangan remaja hari ini dan perkara itu dilihat masih berlarutan sehingga kini.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi kejadian yang berlaku di Desa Jambudipa, Kecamatan Cisarua, Kabupaten Bandung Barat Indonesia apabila seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah kantung beras baru-baru ini.
Lebih memilukan, kantung beras berisi bayi itu dibuang dan dicampakkan ke dalam sebuah kandang lembu.
Menyedari suara tangisan bayi tersebut, pemilik kandang itu kemudiannya memeriksa keadaan sekeliling dan alangkah terkejutnya apabila menjumpai seorang bayi perempuan.
Dikongsikan di laman Instagram, video itu menerima lebih 20,000 jumlah tontonan setakat ini.
Berdasarkan rakaman tersebut, bayi berkenaan berjaya diselamatkan oleh orang ramai di lokasi kejadian.
Difahamkan, kini bayi tersebut berada di bawah jagaan sementara seorang wanita yang juga kebetulan sedang mengandung.
Turut mencuri perhatian, rupa bayi perempuan itu kelihatan sangat comel dan cantik selepas ditenangkan oleh wanita berkenaan.
Namun, di ruangan komen netizen mengecam tindakan ibu bapa kepada bayi itu yang dianggap tidak berhati perut.
"Di luar sana masih ramai yang mahukan anak sampai sanggup berhabis duit membuat rawatan, tapi kenapa ada yang sanggup buang bayi," kata hnifoo.
"Kalau tak mahu anak itu sekali pun, jangan di buang dalam kantung beras, langsung tiada hati perut manusia seperti itu," jelas bahterakputra.
"Ya Allah sedihnya, saya berjuang sampai sembilan tahun untuk dapatkan zuriat, memang kejam siapa yang buang bayi itu kerana dia tidak berdosa," tambah sriutamiirsadi.
Belum ada sebarang laporan lanjut berkenaan status jagaan bayi tersebut setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram