[VIDEO] Penoreh getah ditelan ular sawa 7 meter, mayat masih sempurna lepas dibelah


  • Benua
  • Rabu, 26 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seekor ular sawa gergasi yang dibelah perutnya oleh penduduk kampung.

SEORANG warga emas dilaporkan maut selepas ditelan seekor ular sawa sepanjang tujuh meter ketika memasuki hutan untuk mengutip getah.

Jahrah, 54, hilang di sebuah hutan berhampiran rumahnya di wilayah Jambi, pulau barat Sumatera, Indonesia.

Susulan kehilangan itu, penduduk tempatan menjalankan usaha mencari selama dua hari sebelum berjaya menemui seekor ular sawa bersaiz gergasi dengan perut yang besar.

Curiga dengan saiz ular tersebut, orang ramai kemudiannya membelah hidupan itu dan alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati mayat Jahrah berada di dalamnya.

Wakil ketua kampung yang dikenali sebagai Anto berkata, ular sawa berkenaan berkemungkinan membunuhnya dengan melilit dan melemaskan mangsa.

“Nenek itu dipercayai mati dalam masa dua jam ketika ditelan ular tersebut.

“Ular tersebut akan menggunakan taringnya untuk mencengkam Jahrah dan melilitnya secepat mungkin sehingga dia tidak mampu untuk bernafas.

“Untuk menghadam makanan sebesar itu, ular tersebut mungkin mengambil masa berminggu-minggu untuk selesai,” katanya.

Ular sawa yang menelan seorang warga emas berjaya ditangkap penduduk kampung. — Agensi

Menurut salah seorang anggota pegawai penyelamat, mangsa tidak pulang ke rumah selepas pergi ke kebun untuk mengutip getah.

“Keluarganya melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tempatan dan operasi pencarian terus dilakukan ketika itu.

“Selepas menemukan seekor ular sawa, penduduk kemudiannya membelah perutnya dan ternyata individu yang dicari berada di dalam perut ular tersebut.

“Namun, tiada seorang pun penduduk yang menyaksikan Jahrah ditelan ular tersebut,” jelasnya.

Akibat kejadian itu, situasi di kampung berkenaan kini semakin tegang apabila beberapa ular sawa gergasi turut kelihatan di lokasi berhampiran.

Difahamkan, seekor ular sawa sepanjang lapan meteri dipercayai bersembunyi di kawasan sebuah rumah dan menelan dua ekor kambing.

Untuk makluman, Indonesia mempunyai bilangan populasi ular sawa bersaiz besar di hutan terpencil dan sering menjadikan haiwan liar ataupun manusia sebagai sasaran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram