Peluru masuk kelas, murid sekolah terpaksa meniarap akibat perang kartel


  • Benua
  • Isnin, 24 Okt 2022

Tangkap layar video menunjukkan murid-murid berkenaan meniarap di atas lantai ketika insiden terbabit.

TULAR satu video murid-murid sekolah yang ketakutan bertindak bersembunyi di bawah meja kelas ketika insiden tembakan membabitkan pergaduhan dua kumpulan penjenayah di Mexico, pada Sabtu.

Kejadian menakutkan itu berlaku berhampiran Sekolah Rendah Mario Silva Cortes di Sonora, Mexico, lapor Daily Star.

Ketika kejadian, sekumpulan lelaki bersenjata turun ke jalan di luar sekolah dan cuba membunuh antara satu sama lain.

Sekumpulan lelaki berada di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) putih, manakala kumpulan lelaki lain berada di jalan.

Media melaporkan tembakan berlaku di mana-mana, sehingga ada mengenai dinding sekolah ketika kejadian pada pukul 2 petang.

Rakaman video kejadian itu menunjukkan guru cuba menenangkan murid sambil menasihati mereka untuk tunduk dan berada di bawah meja masing-masing.

Tiada seorang pun daripada murid yang dilaporkan cedera dalam insiden mencemaskan itu.

Pertempuran berlaku selepas perang meletus antara kartel Caborca ​​dan kumpulan Los Chapitos, awal tahun ini.

Ia berpunca daripada penahanan pemimpin Caborca, ​​Rafael Caro Quintero, baru-baru ini.

Jurucakap kumpulan Keselamatan Awam Sonora berkata, sejurus selepas serangan itu, terdapat serangan langsung terhadap sebuah kenderaan yang mana seorang terbunuh, dan dua cedera di Empalme.

"Pasukan keselamatan tentera laut, polis negeri dan perbandaran berada di tempat kejadian bagi mengawal kawasan itu," katanya.

Susulan kejadian, Setiausaha Keselamatan Maria Dolores del Rio menghubungi pengetua sebuah sekolah rendah yang terletak berhampiran tempat kejadian yang kemudian mengesahkan semua murid itu selamat.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab.

"Sebagai tambahan kepada maklumat mengenai peristiwa di Empalme, kami mengesahkan murid Sekolah Rendah Mario Silva Cortez selamat meninggalkan kelas dan bersama keluarga masing-masing," jelasnya. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram