PERJALANAN Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam kempen Liga Super musim ini berakhir dengan kekecewaan yang menyaksikan Sang Kenari hanya mampu menduduki tangga kelapan liga dengan 11 kekalahan direkodkan.
Prestasi merudum itu juga menyebabkan pihak pengurusan Hijau Kuning terpaksa menamatkan perkhidmatan Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih dan digantikan dengan Victor Andrag sebagai Pemangku Ketua Jurulatih (Interim) Sang Kenari untuk saingan Piala Malaysia.
Selain meletakkan semua kesalahan di bahu jurulatih kelahiran Singapura itu, ada juga pihak yang mendakwa bahawa kejatuhan Kedah pada musim ini adalah disebabkan tahap kecergasan pemain-pemain Sang Kenari.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal oleh bekas ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote yang berpendapat terdapat pelbagai faktor lain di sebalik kemerosotan prestasi skuad Sang Kenari.
Tidak hanya bercakap kosong, jurulatih dari Sepanyol itu menyenaraikan kepada Majoriti lima faktor yang perlu dibaiki Kedah bagi menghadapi liga musim depan.
1) Bajet
Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar kini pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn. Bhd. — Facebook/KDA FC
Antara perkara pertama yang ditekankan Marcote dalam menambah baik KDA FC musim depan adalah dengan memastikan mereka mempunyai struktur kewangan yang kukuh.
“Pertama sekali, sesebuah pasukan perlu bersikap realistik kerana bajet memainkan peranan yang besar dalam menentukan objektif dan pencapaian terakhir pasukan,” katanya kepada Majoriti.
Musim ini, skuad Sang Kenari terpalit dengan pelbagai isu dengan beberapa laporan mengaitkan hal itu terhadap sumber kewangan tidak kukuh termasuk isu tunggakan gaji dan kesukaran untuk membawa masuk pemain baharu.
Namun, dengan kehadiran pemilik baharu iaitu usahawan tanah air, Tan Sri Mohd Daud Bakar, kemasukan itu dilihat bakal menyuntik semangat berbeza selain mengukuhkan lagi kemampuan kewangan pasukan.
Selain itu, bekas jurulatih kecergasan Kedah itu turut berpendapat kehadiran bajet yang kukuh mampu membantu pembinaan sebuah kelab untuk bersaing dengan lebih baik.
“Daripada bajet itu, barulah sesebuah skuad itu mampu dibentuk,” kata Marcote.
2) Sejarah
Azraai Khor (dua kiri) pernah menjulang kejuaraan double-treble pada tahun 2007 dan 2008. — Facebook/KDA FC
Dalam konteks bola sepak negara, sentimen anak jati sering dimainkan dengan KDA FC turut tidak terkecuali apabila mengatakan hal itu.
Ia boleh dibuktikan dengan pemain kelahiran negeri jelapang padi itu seperti Akyar Rashid, Rizal Ghazali dan juga Fayadh Zulkifli yang menjadi pemain kegemaran mereka.
Tidak kurang dengan pemain, dalam sejarah Kedah juga, jurulatih kelahiran negeri itu turut menjadi pilihan utama seperti Azraai Khor dan Tan Cheng Hoe.
Nama mereka sering dilaungkan semula oleh penyokong berikutan kejayaan mereka membawa nama Kedah menjulang banyak piala.
Sentimen seperti itu selari dengan apa yang dikatakan Marcote iaitu perlu mengambil kira sejarah dan budaya sesebuah kelab itu dalam usaha menarik lebih ramai penyokong.
“Kita mesti mengambil kira sejarah kelab dan budayanya (konteksnya). Kita kena kaji sejarahnya dan tahu bagaimana detik-detik kejayaan telah dicapai, kita mesti tahu gaya atau model permainan apa yang mendekatkan kelab dengan prestasi terbaiknya dan membuatkan penyokong lebih gembira.
“Kita perlu menganalisis jenis jurulatih yang telah berhubung lebih banyak dengan peminat. Malah, perlu mengenal pasti jenis pemain yang telah menyesuaikan diri dengan lebih cepat kepada konteks kelab dan telah memberikan prestasi yang lebih baik," katanya.
3) Kemudahan dan fasiliti pasukan
KDA FC pada awal Februari tahun ini merancang untuk membangunkan sebuah pusat latihan bola sepak bertaraf dunia dan diiktiraf oleh FIFA. — Facebook/KDA FC
Faktor kedua masalah kemerosotan Kedah ialah kurangnya kemudahan dan fasiliti untuk membantu membentuk pasukan yang lebih berdaya saing.
Bagi jurulatih berusia 45 tahun itu, Kedah perlu menganalisis masalah kemudahan seperti peralatan sukan, perubatan, bahagian pentadbiran, jabatan pembangunan taktikal, jabatan perubatan dan mewujudkan jabatan fisiologi.
Perkara seperti itu perlu dikaji kerana ia yang akan menjadi faktor untuk meningkatkan prestasi keseluruhan pemain.
“Ada kemungkinan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan jabatan fisiologi dan sains Sukan (yang mengawal prestasi fizikal pemain). Mewujudkan jabatan pembangunan taktikal dan metodologi (dengan sub- Analisis sub- jabatan).
“Ada kemungkinan ia perlu untuk mewujudkan jabatan perubatan (dengan sub-jabatan fisioterapi dan pemulihan kecederaan, sub-jabatan Pemakanan, sub-jabatan psikologi), mungkin jabatan Biomekanik juga amat diperlukan.
“Sudah tentu Rom tidak dibina dalam sehari, dan kelab juga tidak boleh dibina dalam sehari, tetapi rancangan boleh dibuat untuk membina kelab itu tahun demi tahun,” jelas Marcote.
Katanya lagi, jika KDA FC memiliki kemudahan yang bertaraf antarabangsa, pasti lebih mudah untuk menarik pemain import, jurulatih ternama dan juga mengukuhkan struktur kewangan dengan menarik pelabur luar.
4) Akademi
Fayadh merupakan antara produk akademi Kedah. — Facebook/KDA FC
“Kita juga perlu menganalisis sama ada model akademi bola sepak (akar umbi) adalah yang betul dan jika kita benar-benar mempunyai pelan latihan yang betul yang menyediakan pemain tempatan untuk bermain secara profesional dalam masa terdekat,” ujar Marcote.
Marcote turut berpendapat, Sang Kenari perlu bijak dalam mengatur rancangan akademi mereka.
Hal ini kerana, pemain dari akademi yang utuh akan membantu melahirkan pemain tempatan yang boleh bersaing dengan pemain import.
Malah, menggunakan pemain akademi juga akan mengurangkan kos perbelanjaan Kedah dari segi membawa masuk bintang import.
5) Wajah pasukan
Ronald Ngah Wanja (kiri) antara pembelian import Kedah pada musim ini. — Facebook/KDA FC
Melakukan rombakan dari segi kejurlatihan dan pemain adalah tindakan wajar yang perlu dilakukan KDA FC jika ingin kekal relavan pada musim depan.
Marcote berkata, pilihan jurulatih yang berpengaruh mampu menarik penyokong untuk ke stadium dan sekali gus membuatkan pihak lawan gerun dengan pasukan itu.
Selain jurulatih, menandatangani pemain yang betul sama ada tempatan ataupun import perlu dititikberatkan oleh penyokong.
Pemilihan pemain perlu dicari berdasarkan krtiteria yang ditetapkan ataupun mengikut objektif jurulatih yang dilantik.
Tambah Marcote, lantikan jurulatih dan membawa pemain baharu merupakan asas untuk membina pasukan berwajah baharu.
“Sebaik sahaja anda telah mengambil langkah-langkah yang asas, datanglah proses membina pasukan. Perkara itu dan memerlukan pengetahuan dan masa, latihan, keyakinan, kemenangan, kekalahan, yang akan mengeratkan hubungan sesama pasukan.
“Tetapi kita mesti sedar bahawa prestasi serta-merta hanya biasanya berlaku dalam pasukan dengan bajet terbesar yang mengupah pemain peringkat tertinggi, dan ini tidak selalu berlaku,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram