Rusia tiru taktik lama Jepun, terdesak mahu tawan Ukraine


  • Benua
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Serpihan dron kamikaze Iron yang berjaya ditembak jatuh oleh Ukraine. — Agensi

IRAN mengerahkan pakar ketenteraan di Crimea yang diduduki Rusia untuk membantu melancarkan serangan dron ke atas Ukraine, kata White House.

Rakyat Iran merupakan jurulatih dan kakitangan sokongan teknologi, kata jurucakap Amerika Syarikat (AS)

Isnin lalu, Rusia menyerang ibu negara Ukraine, Kyiv dengan dron 'kamikaze' yang dipercayai buatan Iran.

Sementara itu, United Kingdom (UK) mengumumkan sekatan ke atas perniagaan Iran serta individu yang bertanggungjawab membekalkan dron tersebut.

"Kami mendapati bahawa anggota tentera Iran berada di Crimea dan membantu Rusia dalam operasi ini," kata jurucakap keselamatan White House, John Kirby kepada pemberita.

Kirby mendakwa, sebilangan kecil rakyat Iran juga memberi sokongan teknikal kepada Rusia menerusi serangan dron terbabit.

"Tehran kini terlibat secara langsung di lapangan selain membekalkan senjata, yang seterusnya memberi kesan kepada orang awam dan infrastruktur di Ukraine.

"AS akan meneliti segala kaedah untuk mendedahkan, menghalang dan melihat peruntukan dikeluarkan Iran berhubung amunisi tersebut," kata Kirby.

Bagaimana kerjasama Rusia dan Iran memberi ancaman kepada Ukraine?

Ukraine mengenal pasti dron yang digunakan pada Isnin lalu sebagai senjata Shahed-136 Iran.

Ia dikenali sebagai dron 'kamikaze' kerana musnah dalam sesebuah serangan. 'Kamikaze' diambil sempena nama juruterbang pejuang Jepun yang melancarkan misi berani mati dalam Perang Dunia Kedua.

Rusia menggunakan dron dan peluru berpandu untuk memusnahkan infrastruktur penting di Ukraine sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Akibat daripada itu, satu pertiga daripada stesen janakuasa Ukraine musnah, manakala sekatan ke atas penggunaan perkhidmatan elektrik diperkenalkan di negara itu buat kali pertama pada Khamis.

Pada masa sama, UK mengumumkan sekatan ke atas tiga anggota tentera atasan dan firma senjata Iran berhubung penggunaan dron untuk menyerang Ukraine.

Setiausaha Luar UK, James Cleverly menuduh beberapa individu sebagai pencetus peperangan dan mengaut untung daripada serangan Moscow.

Antara tersenarai adalah Ketua Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Hossein Bagheri dan pengeluar dron, Shahed Aviation Industries.

Bukan itu sahaja, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Moscow meletakkan bahan letupan di empangan utama dekat selatan Ukraine.

Jika loji hidroelektrik Kakhovka mengalami kerosakan teruk, kira-kira 80 bandar berisiko dinaiki air manakala loji kuasa nuklear Zaporizhzhia boleh dibiarkan tanpa air untuk penyejukan.

Malah, perkara itu juga boleh menjejaskan saluran air di seluruh selatan Ukraine, termasuk Crimea. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram