[VIDEO] Tentera Rusia rompak, curi mesin basuh penduduk Ukraine


  • Benua
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan dua tentera Rusia sedang membawa sebuah mesin basuh yang dicuri dari penempatan rumah di Ukraine.

SUSULAN serangan peluru berpandu ke atas Ukraine, tentera Rusia dilaporkan terus mengganas apabila mencuri dan merompak harta penduduk awam di negara itu.

Selain merobohkan penempatan di negara terbabit, tentera Rusia juga difahamkan telah mencuri mesin basuh dari sebuah rumah penduduk.

Kejadian itu dikongsikan di laman Twitter dan menerima pelbagai kecaman daripada warganet.

Berdasarkan video tersebut, dua orang tentera Rusia dilihat melarikan sebuah mesin basuh selepas kawasan penempatan itu dihancurkan oleh mereka.

Mesin itu dibawa dan diletakkan ke dalam kenderaan yang dipandu sebelum sekali lagi memasuki rumah tersebut untuk mencuri beberapa lagi barangan lain.

Selain itu, pergaduhan antara kedua negara itu turut menjadi bualan ramai apabila tentera Rusia merampas pelbagai lagi harta benda lain seperti pakaian dalam wanita, peralatan komputer dan kereta.

Paling mencuri tumpuan, pelekat magnet peti sejuk turut diambil oleh tentera Rusia dan kenyataan itu diumumkan sendiri oleh penduduk dari negara terbabit.

Selepas membebaskan salah satu daripada penempatan di wilayah Kharviv, pekerja di situ mendapati bahawa tandas di premis perniagaan juga telah dirampas oleh pihak penceroboh.

Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan askar terbabit.

"Saya tidak faham kenapa mesin basuh pun mereka mahu curi, ia boleh didapatkan dengan harga murah jika beli secara atas talian," kata Stephen.

"Saya sangat pelik kerana askar Rusia yang sangat kaya dan berteknologi tinggi mahu mencuri mesin basuh di rumah mangsa, ia sangat memalukan dan hina," jelas Kristjan.

"Peperangan itu telah menyebabkan banyak kerosakan dan kemusnahan rumah di Ukraine dan mereka masih mahu mencuri mesin basuh, Rusia sangat memalukan," tambah hologramtalk.

Sementara itu, di wilayah Zaporizhzhia, tentera Rusia sedang bersiap sedia untuk melarikan diri.

Namun sebelum beredar, mereka telah merompak sebuah hotel di situ dan melarikan beberapa barang termasuk cerek, televisyen dan peti sejuk. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram