[VIDEO] Bekas teman lelaki naik hantu, wanita tanggung sakit dipukul, ditolak di tempat kerja


  • Benua
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita diserang dan dipukul bekas teman lelakinya ketika sedang bekerja.

KEBAHAGIAAN dan persefahaman sememangnya perkara yang diinginkan oleh setiap pasangan yang sedang bercinta.

Namun, adakalanya ia tidak seperti yang diharapkan dan boleh menyebabkan seseorang individu itu menjadi mangsa pukul dan penderaan akibat perselisihan faham yang berlaku.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi serangan fizikal yang dialami seorang wanita di Kota Perbaungan, Kabupaten Serdang Bedagai, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini apabila dia diserang bekas teman lelakinya.

Mangsa, Ogie Padani, 26, dilaporkan dipukul lelaki tersebut ketika sedang bekerja di sebuah kedai alat telekomunikasi.

Insiden itu yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, memaparkan perbuatan ganas dilakukan seorang lelaki dipercayai bekas kekasih mangsa.

Ketika kejadian, suspek meluru masuk dan menimbulkan kekecohan di premis itu sebelum menolak bekas teman wanitanya sehingga terjatuh.

Meskipun mangsa cuba melarikan diri, dia kemudiannya dikejar dan ditolak beberapa kali oleh lelaki berkenaan sebelum akhirnya beredar dari premis tersebut.

Mangsa dilaporkan mengalami kesan lebam di kaki, pergelangan tangan dan tangan serta kecederaan di belakang kepala akibat kejadian tolak menolak tersebut.

Difahamkan, kejadian itu telah dilaporkan ke Ibu Pejabat Polis Perbaungan dan siasatan sedang giat dijalankan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram