Letak vape di mulut bayi, lelaki dilapor ke JKM mengaku bersalah, minta maaf


  • Tular
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Lelaki yang dikenali sebagai Haikal itu dikatakan sudah pergi ke balai polis dan meminta maaf kepada orang ramai atas tindakannya.

SEBUAH video memaparkan tindakan seorang lelaki meletakkan rokok elektronik atau vape di mulut seorang bayi perempuan tular di laman sosial Twitter pada Jumaat.

Menerusi video yang dimuat oleh Fanaizty di Twitter, perbuatan lelaki yang dipercayai teman lelaki kepada ibu saudara bayi berkenaan dilakukan tanpa rasa bersalah.

Meskipun, si ibu saudara itu melarang kekasihnya agar tidak melakukannya, namun lelaki berkenaan tetap meletakkan vape pada mulut bayi terbabit.

Video tersebut secara tidak langsung membangkitkan amarah dalam kalangan pengguna media sosial terutamanya di Twitter.

Malah individu yang memuat naik video tersebut bertindak melaporkan tindakan lelaki itu ke pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) selepas mengumpulkan segala maklumat daripada pengguna media sosial.

"Hasil dari info yang netizen berikan, saya telah laporkan ke JKM. Terima kasih semua. Harap perkara ini dipandang serius dan di ambil tindakan oleh pihak berkuasa," tulisnya dalam Twitter.

Selepas tular video tersebut dan laporan yang dibuat oleh wanita itu, pasangan berkenaan bertindak memadam akaun mereka kerana dikecam hebat.

Tindakan wanita itu membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab mendapat sokongan orang ramai dengan harapan pelaku itu dikenakan hukuman setimpal atas tindakannya itu.

"Bagus! geram tengok boleh buat macam itu dekat anak sendiri! Rasa nak pergi sahaja ambil anak dia bawa balik bela jaga sampai besar," kata @Nursyuhada.

"Bagi diorang benda itu lawak, kalau tetiba budak itu tersedut, lepas itu ingat budak itu tak boleh rasa flavor yang dekat hujung-hujung itu?," ujar @Akmalashmal.

"Aku kenal lelaki ini, dia bukan bapa budak ini, individu itu duda dua bulan lepas viral sebab curang dengan isteri dia," tulis @Amirxkcc.

FZeLF6QUIAELzFq

Tangkap layar permohonan maaf tersebut.

Terbaharu, lelaki yang dikenali sebagai Haikal itu dikatakan sudah ke balai polis dan meminta maaf kepada orang ramai atas tindakannya itu.

"Saya Haikal nak maklumkan bahawa video yang viral baru-baru ini, kami dah pergi ke balai polis tujuan betulkan statement yang tidak betul, saya mengaku itu salah sendiri tetapi vape itu dah tak berfungsi.

"Salah saya, salah kami dan saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada semua," katanya.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bayi Perempua, Lelaki, Vape, JKM, Twitter, Fanaizty