ISU penderaan bayi semakin berleluasa kebelakangan ini dan orang ramai dilihat seperti sudah hilang sifat perikemanusiaan apabila sanggup melakukan kekejaman kepada si kecil.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi video tular di laman Tiktok apabila seorang lelaki didakwa melakukan penderaan dan penyeksaan terhadap bayi.
Kejadian itu yang berlaku di Kota Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia, memaparkan kes penderaan dilakukan terhadap seorang bayi berusia empat bulan.
Berdasarkan video tersebut, bayi itu dilihat menangis dengan kuat selepas mulutnya diterkap berulang kali oleh pemuda berkenaan.
Akibat perbuatan kejam itu, bayi tersebut difahamkan mengalami sesak nafas dan menangis ketika kejadian.
Suspek dilaporkan sengaja melakukan tindakan terbabit dan motif sebenar masih belum diketahui setakat ini.
Ketua Polis Biringkanaya, Kompol Alimuddin, berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menerusi video yang dikongsikan.
Hasil siasatan yang dijalankan, suspek bernama Andry Victorianda dan merupakan penduduk BTN Pepabri Blok C, Sudiang, Kota Makassar, Indonesia.
“Suspek pernah tinggal di alamat tersebut namun hasil siasatan mendapati dia telahpun berpindah ke Maluku.
“Semakan polis mendapati, dia masih mempunyai kontrak sementara di Pepabri dan sebaik berpindah suspek berkemungkinan tidak membuat laporan.
“Disebabkan itu, alamat kad pengenalannya masih di Sudiang meskipun lesen memandunya sudah bertukar ke alamat Maluku,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram