[VIDEO] Jampi punya pasal, habis semua melambung tak boleh datang dekat motor


  • Benua
  • Khamis, 13 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan lelaki terjatuh sebaik ingin mendekati sebuah motosikal yang dipercayai telah dijampi.

ILMU hitam ataupun kepercayaan mistik masih lagi diamalkan oleh sesetengah masyarakat pada hari ini.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian di laman Instagram yang memaparkan perbuatan seorang pemuda disyaki menjampi sebuah motosikal.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Indonesia baru-baru ini, mengundang perhatian warganet apabila sekumpulan remaja dilihat tercampak sebaik mendekati kenderaan yang dijampi itu.

Berdasarkan video tersebut, seorang lelaki terlebih dahulu dilihat seperti sedang menjampi motosikal terbabit apabila mempamerkan aksi lincah di khalayak ramai.

Sambil mengaminkan doa dan mengelilingi motosikal itu, pemuda berkenaan dipercayai membacakan jampi perlindungan kepada kenderaan itu supaya tidak mudah diganggu orang berniat jahat.

Pengacara majlis turut menerangkan kejadian dan situasi yang sedang berlaku ketika itu.

“Persembahan yang sedang berlangsung ketika ini merupakan satu demonstrasi mengecas motosikal.

“Selepas selesai menjampi, motosikal itu tidak akan boleh dicuri ataupun disentuh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Selesai menjampi, sekumpulan lelaki diminta untuk tampil menyerang motosikal tersebut dengan niat yang jahat.

Namun tanpa diduga, kesemua mereka dilihat tidak mampu untuk berdiri dan terjatuh setiap kali menghampiri kenderaan terbabit.

Menerima lebih 5,000 jumlah tontonan, sesetengah netizen berpendapat ia hanya satu pertunjukan dan rekaan semata-mata yang tidak benar.

“Nampak seperti satu penipuan, jika benar motosikal itu sudah dijampi dengan tenaga dalaman, cuba minta penonton di situ yang mendekatinya,” kata awalnurjana.

“Kasihan kepada pemilik motosikal berkenaan, kenderaannya telah dizalimi dan dicemari ilmu hitam,” jelas Inugawan.

“Kalau ada yang berjaya mencuri motosikal itu ketika kejadian, apa pula yang akan diperkatakan oleh lelaki itu,” tambah faridhilmawan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram