[VIDEO] Degil enggan pindah rumah, laki bini mandi petrol ugut nak bakar diri


  • Benua
  • Khamis, 13 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan sepasang suami isteri yang mengugut untuk membakar diri susulan tindakan penguatkuasa yang mahu merobohkan rumah mereka.

TINDAKAN sepasang suami isteri yang mengugut mahu membakar diri mengundang perhatian awam apabila mereka dilihat membawa sebotol petrol ketika kejadian yang terjadi di Bengaluru, India baru-baru ini.

Insiden itu dilaporkan berpunca daripada arahan penguatkuasa yang ingin merobohkan rumah mereka.

Arahan itu dikeluarkan susulan struktur binaan perumahan itu yang dikatakan menghalang saliran air di bandar serta dibina atas tanah haram.

Ketika kejadian, Sona Sen dan suaminya, Sunil Singh berdegil dan enggan berganjak dari dinding luar kawasan perumahan mereka meskipun jentera jentolak mula menghampirinya.

Kedua pasangan suami isteri itu kemudiannya menjerit dan memberitahu bahawa mereka akan membakar diri sekiranya projek runtuhan masih diteruskan.

Situasi semakin hangat apabila mereka bertindak menyimbah diri dengan minyak petrol sebaik jiran tetangga mula menghalang perbuatan mereka.

Ketika nyalaan api cuba dihidupkan, beberapa orang memancutkan air ke arah pasangan tersebut bagi menghentikan kebakaran.

Walaubagaimanapun, mereka akhirnya berjaya diselamatkan orang ramai dan pegawai bertugas meneruskan projek meroboh sebahagian daripada kawasan rumah terbabit.

Pegawai jurutera, Pampathy berkata, rumah pasangan itu merupakan antara kawasan yang dibina di atas paip longkang air ribut.

“Kami memaklumkan kepada mereka bahawa pihak kami hanya akan merobohkan apa yang diperlukan terutamanya bahagian yang berhampiran longkang air ribut, tetapi mereka enggan berganjak.

“Dengan bantuan polis, kami memulakan kerja-kerja meroboh dan telah mengeluarkan notis kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, struktur binaan yang menghalang longkang air ribut sedang giat dialihkan di seluruh Bengaluru selepas hujan lebat melanda pada bulan lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram