[VIDEO] Main hujan depan rumah, budak 5 tahun kena tanam lepas nyaris mati disambar petir


  • Benua
  • Khamis, 06 Okt 2022

Gambar kanak-kanak yang ditanam penduduk kampung sejurus selepas disambar petir. — Agensi

SEORANG budak lelaki berusia lima tahun yang sedang bermain hujan di depan rumahnya nyaris maut selepas disambar petir.

Kejadian berlaku pada Selasa lalu di Desa Tanjung, Langkat, Indonesia kira-kira pukul 3.30 petang.

Seorang saksi yang berada di lokasi kejadian, Surbakti berkata, kanak-kanak itu pada mulanya hanya mandi air hujan di hadapan rumah.

"Namun secara tiba-tiba, dia disambar petir dan terus rebah. Mujur ada orang kampung yang turut melihat kejadian itu.

"Kanak-kanak itu kemudian telah diangkat dan terus ditanam dalam tanah untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Cara itu berjaya memulihkan kanak-kanak itu daripada mengalami kecederaan yang lebih parah atau maut," katanya.

Menurut Surbakti, cara itu sudah dilakukan oleh orang kampung sebelum ini jika terdapat mangsa yang disambar petir.

Jelasnya, ketika disambar petir, mangsa perlu diangkat dan ditanam terus ke dalam tanah di kawasan selamat.

"Kebiasaannya, selain keseluruhan tubuh mangsa ditanam, kita juga akan meletakkan daun pisang di atasnya.

"Tetapi cara itu perlu dilakukan secepat mungkin dan jika terlewat, mangsa boleh meninggal dunia," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram