[VIDEO] Pak 'guard' mengamuk, tanduk muka pencuri sampai lembik


  • Benua
  • Rabu, 05 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang pengawal keselamatan bertindak menumbuk dan menanduk sekumpulan lelaki disyaki perompak di sebuah gedung pakaian sukan di London.

SEORANG pengawal keselamatan gedung pakaian sukan terkemuka dilaporkan menumbuk dan menanduk sekumpulan lelaki yang disyaki merompak premis itu di pusat beli-belah Westfield Stratford, London, United Kingdom baru-baru ini.

Difahamkan, pergaduhan itu berpunca akibat dakwaan mencuri terhadap sekumpulan pemuda terbabit sebelum mereka ditangkap dan dipukul di khalayak ramai.

Rakaman kejadian dikongsikan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah terbabit.

Berdasarkan video tersebut, suspek yang ditangkap mencuri terlebih dahulu dilihat bertindak kasar apabila memukul dan menendang pengawal tersebut daripada belakang.

Susulan dia dipukul, pengawal terbabit kemudiannya membalas dengan menghempas pemuda itu ke lantai dan menanduk kepalanya dengan kuat.

Pengurus besar Westfield Stratford, Alyson Hodkinson berkata, berikutan dakwaan cubaan mencuri tersebut, satu pertengkaran berlaku melibatkan beberapa orang pemuda dan pengawal keselamatan di situ.

“Sebaik pengawal keselamatan Westfield dimaklumkan mengenai perkara itu, mereka datang ke tempat kejadian untuk menyelesaikan keadaan.

“Keselamatan pelanggan, peruncit dan pekerja adalah amat penting kepada kami dan kakitangan yang bertugas mampu menangani situasi sukar untuk menjaga keselamatan di pusat beli-belah pada setiap masa.

"Kami akan bertemu dengan pengurus gedung sukan terbabit untuk membincangkan insiden berkenaan dan mengkaji cara terbaik untuk menangani isu keselamatan seperti itu," katanya.

Wakil gedung sukan tersebut berkata, berikutan percubaan mencuri itu, satu siasatan akan dijalankan terhadap sekumpulan lelaki dan seorang pengawal keselamatan yang terlibat dari syarikat tersebut.

“Kami tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu buat masa ini dan kami tidak akan bertolak ansur dengan apa-apa jenis keganasan serta mengambil semua insiden yang dilaporkan dengan sangat serius.

“Keselamatan rakan sekerja dan mana-mana pihak yang terlibat adalah keutamaan kami dan ia tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada tugas orang lain untuk menanggung keganasan berkenaan,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram