SETIAP individu di muka bumi ini memiliki cabaran hidup berbeza-beza dan ada di antaranya yang diduga dengan kemiskinan dan kedaifan.
Ketiadaan tempat tinggal dan makanan memaksa mereka untuk mengutip lebihan makanan dari tempat pembuangan bagi mengisi perut dengan sisa makanan yang kotor.
Namun, tindakan dua remaja lelaki yang gemar mencari sisa makanan dalam tong sampah mengundang perhatian ramai.
Kejadian itu yang berlaku di Indonesia difahamkan berpunca akibat keinginan mereka untuk bergelar artis pempengaruh di media sosial.
Menerusi video tersebut, dua remaja itu difahamkan sering ke pasar mini untuk mengambil makanan yang telah dibuang ke dalam tong sampah.
Mereka mengutip pelbagai jenis makanan di lokasi tersebut antaranya, nasi, onigiri, sushi, dan roti yang dibuang pasar raya kemungkinan kerana telah tamat tarikh luput.
Kata mereka, makanan yang diambil dari tong sampah itu akan dipilih terlebih dahulu, bukan hanya dengan mengutip kesemuanya.
"Hai kawan-kawan, kali ni saya nak ambil makanan di pasar raya Indomaret," kata mereka yang tidak memaklumkan lokasi wilayah Indonesia yang mereka diami.
"Makanan yang saya maksudkan di sini adalah makanan ringan yang telah dibuang di tong sampah, jadi di sini saya pilih yang masih sesuai untuk dimakan.
"Ya, makanan ini mungkin tidak sihat untuk dimakan, tetapi ia masih boleh diterima perut kami," katanya.
Seorang daripada mereka mencuba onigiri dan pada gigitan pertama, dia dilihat seperti mahu termuntah.
Menurutnya, onigiri itu masih lagi elok tetapi bau hanyir daripada inti ikan di dalamnya yang membuatkan dirinya mahu termuntah saat gigitan pertama.
Tetap menjamah makanan yang dikutip, mereka kemudiannya dilihat mencuba sejenis roti dan juga nasi tetapi tidak berupaya untuk menghabiskan makanan tersebut akibat terlampau busuk.
Menerima pelbagai reaksi daripada warganet, rata-rata meninggalkan komen berhubung perbuatan remaja terbabit.
"Sedihnya tengok mereka makan makanan daripada tong sampah, harap satu hari nanti mereka berjaya bergelar artis dan ada pengikut media sosial yang ramai," kata whien681.
"Semoga kekal sihat dan dimurahkan rezeki buat adik-adik itu, harap ada yang sudi membantu mereka dengan makan dan tempat tinggal selesa," jelas ocktayanuar.
"Melihatkan cara mereka begitu tenang makan sisa makanan, saya terasa ingin bersedekah kepada golongan fakir miskin yang memerlukan," tambah kikakimdena. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram