SATU kejadian pembunuhan kejam berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian tersebut, mangsa ditikam menggunakan senjata tajam berulang kali oleh sekumpulan lelaki.
Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Sunder Nagri, India.
Mangsa dikenali sebagai Manish dibunuh oleh tiga orang suspek iaitu Aalam, Bilal dan Faizan.
Pada waktu kejadian, mangsa kelihatan berjalan seorang diri di sebuah lorong menuju ke rumahnya sebelum salah seorang suspek tiba-tiba menerpa Manish dari arah belakang.
Mereka kemudiannya dilihat menikam mangsa berulang kali menggunakan pisau tanpa belas kasihan.
Lebih menyakitkan hati, orang awam yang berada di lokasi sekadar memerhatikan insiden berkenaan.
Ketiga-tiga suspek kemudiannya dilihat meninggalkan tempat kejadian.
Menurut pihak polis, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berdekatan.
Difahamkan Manish dibunuh kerana melaporkan satu kejadian ragut telefon bimbit miliknya pada tahun lalu.
Ketika kejadian, mangsa pernah diserang dengan pisau di leher dan perutnya. Polis menahan dua individu yang yang terlibat dengan insiden tersebut.
Sejak kejadian tersebut, Manish sentiasa diganggu oleh keluarga suspek yang meminta dia menarik balik laporan tersebut dan mereka turut didakwa mengancam ahli keluarga mangsa.
Pada 28 September lalu, Manish dimaklumkan untuk hadir di mahkamah tetapi ahli keluarga kedua-dua tertuduh datang ke rumah Manish dan mereka mengugut mahu membunuhnya jika dia tidak menarik balik kes itu.
Manish bagaimanapun tampil memberikan keterangannya di mahkamah dan polis percaya pembunuhannya itu ada kaitan dengan ugutan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram