TULAR satu rakaman video dua orang lelaki memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan sebatang besi pada Jumaat.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di tempat parkir kawasan Maslee Setia Indah 3/4 Taman Setia, Johor Bahru.
Video tersebut dikongsikan oleh orang awam menerusi halaman Facebook Community Roda Johor - CRJ.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang wanita dipercayai pemilik kenderaan warna putih itu cuba meminta kedua-dua lelaki terbabit berhenti memecahkan cermin keretanya.
Namun, permintaannya tidak diendahkan dua lelaki berkenaan, malah terus memecahkan cermin kereta wanita itu.
Sementara itu, orang awam yang berada di lokasi sekadar memerhatikan insiden berkenaan.
Video berdurasi tujuh saat itu mendapat sebanyak 18, 000 jumlah tontonan setakat ini.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan dua lelaki tersebut.
Norhazlawati Mohamed Sedek berkata, tindakan dua lelaki itu seperti negara tidak mempunyai undang-uandang.
"Belum dapat kuasa sudah berani guna senjata.
"Ingat negara ini tiada undang-undang ke? Ingat dengan kekerasan masalah boleh selesai ke?" tulisnya.
Sementara itu, Nasarudin Adam menyifatkan kawasan tersebut sudah tidak selamat dan manusia semakin ganas.
"Sudah semakin ganas sekarang. Silap sedikit terus keluar senjata," katanya.
"Tadi kes culik di Kuala Lumpur, ini kes kat Johor Bahru pula. Samseng t**i kucing," kata Kamal Hakimi.
Tidak dapat dipastikan punca sebenar kejadian tersebut berlaku.
Belum ada sebarang maklumat lanjut dan kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram