[VIDEO] Perompak berparang mengganas, libas mangsa sebelum larikan motosikal


  • Benua
  • Khamis, 29 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan perompak bertindak ganas apabila melibas parang ke arah mangsa sebelum melarikan sebuah motosikal.

SATU kejadian rompakan dilaporkan berlaku di Jalan Pukat, Bantan Timur, Medan Sumatera Utara, Indonesia pada Rabu apabila dua orang lelaki bersenjatakan parang dan pistol bertindak nekad mencuri sebuah motosikal di sebuah rumah.

Suspek yang menunggang motosikal itu dilihat memakai jaket berwarna kelabu dan topi putih difahamkan cuba melibas mangsa beberapa kali ketika kejadian.

Video tersebut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di rumah terbabit sebelum tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, kelihatan seorang wanita membuka pintu untuk memberi laluan kepada seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya untuk masuk ke dalam rumah.

Namun, kedua-dua suspek secara tiba-tiba datang melibas parang dan mengacu pistol untuk menakutkan mangsa.

Pemilik motosikal cuba menghalang tindakan suspek mencuri namun terpaksa mengalah kerana bimbang dengan keselamatannya.

Video berkenaan menerima lebih 7,000 jumlah tontonan dan warganet turut meninggalkan komen berhubung kejadian tersebut.

“Kenapa tak pergi ambil apa-apa senjata di dalam rumah dan pukul perompak itu, sayang dia terlepas begitu sahaja,” kata antokrock.

“Harap perompak itu dapat ditangkap oleh pihak polis secepat mungkin,” tambah purnamady31.

“Kasihan, mangsa mesti trauma selepas daripada kejadian itu kerana perbuatan perompak terlampau ganas,” jelas iyoryo. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram