TINDAKAN seorang wanita membelasah teman lelakinya mengundang perhatian orang awam selepas dia mempamerkan skil ala gusti.
Kejadian itu yang berlaku di Hong Kong, hangat diperkatakan dalam kalangan warganet apabila video itu dimuat naik menerusi laman Facebook.
Difahamkan, kejadian itu dirakamkan tanpa sengaja oleh salah seorang pelanggan yang sedang menunggu makanannya di sebuah kedai, TamJai SamGor yang terletak berhampiran Tai Po, Hong Kong.
Meskipun tidak mengetahui punca pergaduhan dan hubungan kedua individu terbabit, orang ramai beranggapan mereka merupakan pasangan kekasih yang berselisih faham.
Kedua-dua pasangan itu dilihat saling memarahi satu sama lain di hadapan sebuah restoran mi sebelum lelaki berkenaan bertindak mengangkat wanita itu untuk dibawa pulang.
Seperti enggan merelakan perbuatan pasangannya itu, wanita tersebut bertindak mengepit kakinya di kepala lelaki tersebut sebelum berpusing dan melempar teman lelakinya sehingga tercampak ke tanah.
Namun kejadian itu akhirnya terlerai apabila seorang wanita berpakaian merah dipercayai kakitangan restoran di situ pantas keluar dan menghentikan pergaduhan terbabit.
Rata-rata warganet yang menonton video itu turut meninggalkan komen berhubung kejadian tersebut.
“Setiap perempuan perlu belajar teknik seperti itu, boleh digunakan ketika bergaduh dengan teman lelaki,” kata Sona Lawati.
“Bagus tindakan perempuan itu, jangan tewas kepada kaum lelaki,” tambah Ckoo Lai.
“Hebat, saya seperti mahu menangis saksikan kejadian itu, perempuan itu sangat kuat,” jelas Wai Hung Ip.
Menurut laporan semasa, ada pihak berpendapat bahawa kejadian itu merupakan satu pengambaran filem yang sengaja dilakonkan oleh kedua pasangan terbabit.
Namun orang ramai yang berada di lokasi itu berpendapat insiden itu bukanlah satu lakonan, sebaliknya ia memang satu pergaduhan yang benar-benar terjadi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram