PERTEMBUNGAN dua pasukan bola sepak di Liga 3 Indonesia bertukar menjadi kecoh apabila terpalit insiden pergaduhan melibatkan penyokong kedua-dua pasukan di Stadium Soebroto, Indonesia pada Ahad.
Kekecohan berlaku selepas pasukan tuan rumah PPSM Magelang ditundukkan musuh tradisi Persitema Temanggung 0-2 dalam perlawanan tersebut.
Difahamkan, penyokong tuan rumah mula menyerbu masuk ke tengah padang pada minit-minit akhir perlawanan selepas tidak berpuas hati pasukan mereka dimalukan di tempat sendiri.
Bagaimanapun, tindakan pantas pihak polis berjaya menghalang kejadian menjadi lebih teruk.
Aksi kecoh itu sempat dirakamkan menerusi sebuah video berdurasi dua minit 19 saat yang tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan penyokong menyerbu masuk ke tengah padang.
Menurut laporan, semua pemain dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan PPSM dikejutkan dengan gol pertama pada minit ke-66 hasil jaringan Muhammad Sholikul sebelum dia sekali lagi meledak gol pada minit ke-87.
Kekalahan pasukan tuan rumah menyebabkan penyokong berang sebelum bertindak menyerbu masuk ke tengah padang untuk membuat kekecohan.
Pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu dan tidak dapat dipastikan jumlah penyokong yang ditahan dalam insiden tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram