TULAR di media sosial sebuah video menyaksikan seorang wakil kepada ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Kota Depok, Tajudin Tabri yang didakwa melakukan penganiayaan terhadap seorang pemandu trak, kerana dia terlanggar pintu gerbang di Jalan Raya Krukut, Kecamatan Limo, Depok, Indonesia, pada Jumaat.
Dalam video tersebut, Tajudin kelihatan mengarah pemandu berkenaan untuk melakukan tekan tubi, sebelum membuat aksi seakan-akan memijak belakang badan lelaki tersebut serta memintanya berguling-guling di atas jalan.
Biarpun pemandu tersebut melakukan kesilapan dengan melanggar pintu gerbang kampung berkenaan, namun rata-rata netizen mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Tajudin.
Mengulas insiden tersebut, Tajudin menjelaskan bahawa dia tidak sama sekali melakukan penganiayaan dan menafikan dia telah memijak bahu pemandu trak itu.
"Tidak, saya sama sekali tidak pijak belakang dia. Tapi saya akui, saya suruh dia guling-guling atas jalan supaya dia serik dan tidak lakukannya lagi," katanya.
Menurut Tajudin, emosi marahnya membuak-buak apabila warga kampung menghubunginya dan mengadu berkenaan insiden yang telah pun berlaku berulang kali.
Namun, Tajudin memohon maaf sekiranya netizen menganggap tindakannya itu tidak berperikemanusiaan.
"Saya mohon maaf atas kejadian ini," katanya lagi.
Kini, pemandu bernama Ahmad Misbah itu telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenan.
Dalam perkembangan lain, Ketua Dewan Perwakilan Daerah (DPD) Partai Golkar Kota Depok, Farabi Arafi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas berkenaan insiden itu.
"Saya sangat kesal tentang kejadian tersebut dan tindakan lanjut terhadap yang terlibat akan dilakukan mengikut kesesuaian," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram