[VIDEO] 'Benda dah lama post, enjoy jelah' — Ramai puas hati penunggang basikal T20 diajar cukup-cukup sampai 'cium' jalan


  • Benua
  • Isnin, 19 Sep 2022

Tangkap layar video dua penunggang basikal dengan salah seorang daripadanya menunggang di hadapan sebuah lori menyebabkan pemandu lori membunyikan hon.

JIKA sebelum ini kebanyakan kes buli jalan raya melibatkan pemilik kereta sesama mereka, lain pula ceritanya dalam satu insiden di negara jiran, Singapura.

Seorang penunggang basikal dirakam menunjukkan sikap kurang bertanggungjawab sehingga mendapat perhatian orang ramai di media sosial.

Berdasarkan video berdurasi satu minit empat saat, itu menimbulkan perdebatan orang ramai mengenai siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan.

Difahamkan kejadian berlaku pada 2018, namun video tersebut kembali tular sehingga menjadi bualan orang ramai di media sosial sejak Isnin.

Video yang dimuat naik semula di laman Facebook Sentul Times memaparkan insiden dikatakan berlaku berhampiran simpang Pasir Ris Drive 3 dan Pasir Ris Rise, Singapura pada 22 Disember 2018.

Ketika kejadian, menunjukkan dua penunggang basikal dengan salah seorang daripadanya menunggang di hadapan sebuah lori menyebabkan pemandu lori membunyikan hon kepadanya.

Selepas berhenti di satu simpang, penunggang terbabit masih tidak berganjak ke kiri apabila mula kembali mengayuh.

Dia kemudiannya menunggang basikal sedikit ke kiri selepas beberapa meter dan bertindak menyiku cermin sisi lori itu sehingga patah.

Pada masa sama, penunggang itu juga didakwa melemparkan botol minuman ke cermin depan lori terbabit.

Dengan sekelip mata, pemandu lori terbabit yang disyaki berang kemudiannya menghimpit penunggang basikal sehingga terpelanting ke sisi jalan yang berumput dan seorang lagi penunggang basikal dilihat berhenti untuk menolong rakannya.

"Benda dah lama dah post... enjoy jelah," tulis seorang netizen, Badar Imran.

Pemandu lori terbabit dilaporkan dikenakan hukuman penjara selama tujuh hari dan didenda sebanyak SD499 (RM1,614) pada Selasa (14 Januari 2020).

Manakala penunggang basikal terbabit pula didenda sebanyak SD2,799 (RM 9,042) atas perbuatan nakal dan tidak memandu dengan cermat serta melanggar peraturan trafik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram