Tercampak dari motosikal, dihempap tiang lampu pun masih selamat, pakai topi keledar ajaib ke?


  • Benua
  • Ahad, 18 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang penunggang motosikal yang terbabas masih selamat akibat daripada pemakain topi keledar.

PEMAKAIAN topi keledar sememangnya diwajibkan bagi kesemua penunggang motosikal demi memastikan keselamatan mereka dalam keadaan terbaik dan terlindung daripada kecederaan kepala.

Meskipun masih terdedah kepada isu kemalangan jalan raya, tindakan memakai topi keledar dipercayai sekurang-kurangnya dapat mengelakkan daripada kes kematian.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian video tular di laman Twitter yang memaparkan seorang penunggang motosikal terselamat selepas dua kali ditimpa kemalangan.

Kejadian yang berlaku di Delhi, India itu menunjukkan betapa pentingnya pemakaian topi keledar ketika menunggang motosikal.

Lelaki tersebut terselamat daripada kecederaan serius selepas dua kali dilanda musibah mengejutkan melibatkan sebuah kereta dan tiang lampu.

Insiden itu dimulai dengan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan di jalan tersebut sebelum dihempap tiang lampu selang beberapa saat kemudian.

Meskipun insiden itu tidak dapat dielak, namun pihak polis Delhi percaya bahawa kesan pemakaian topi keledar menjadi faktor utama keselamatan penunggang itu.

Menerima lebih 1.5 juta jumlah tontonan di Twitter, perkongsian video itu telah dijadikan sebagai video peringatan bagi penduduk di India berikutan keselamatan ketika menunggang motosikal.

Video itu dikongsikan dengan kapsyen ayat 'Memakai topi keledar boleh menyelamatkan anda sekali, dua kali, tiga kali dan beberapa kali.'

Rata-rata netizen tidak percaya betapa bertuahnya penunggang itu apabila mengulas video Twitter berkenaan.

"Sangat menakjubkan lehernya tidak patah ataupun terkehel kerana kebiasaannya kemalangan seperti itu memang akan cedera parah," kata Aman.

"Salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan betapa pentingnya untuk memakai topi keledar, walaupun terbabas dan dihempap tiang masih boleh hidup," tambah Pratick.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, topi keledar penutup muka penuh yang diikat dengan betul, mampu mengurangkan kecederaan maut sehingga 64 peratus dan kecederaan otak sehingga 74 peratus ketika kemalangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram