SEORANG pekerja restoran menjadi wira selepas menyelamatkan seorang wanita dan anaknya daripada menjadi mangsa rompakan kereta.
Insiden itu dilaporkan berlaku di Fort Walton Beach, Florida, Amerika Syarikat apabila lelaki tersebut dilihat melawan pencuri itu dengan tangan kosong di ruangan parkir tempat kerjanya.
Tular di laman media Twitter, video berdurasi satu minit itu menunjukkan wanita yang berjalan sambil mengendong bayinya menjerit ketakutan saat kejadian itu berlaku.
Kejadian itu dirakamkan oleh salah seorang pemandu lain yang turut berada di lokasi berkenaan dan orang ramai dilihat mula berkumpul memberi bantuan untuk menangkap pencuri terbabit.
Suspek, Wilkliam Branch difahamkan cuba untuk mencuri kereta wanita terbabit selepas terlebih dahulu merampas kunci daripada wanita itu.
Menerima lebih lapan juta tontonan di Twitter, rata-rata warganet memuji tindakan pantas yang dilakukan pekerja terbabit.
Kvein Lortz berkata, pekerja seperti ini perlu dijaga sebaik mungkin dan jangan diberhentikan kerja.
"Jaga baik-baik pekerja seperti itu, dia telah berbakti kepada masyarakat dan jangan dibuang pekerja seperti itu kerana syarikat lain pasti mahukan orang sepertinya," katanya.
"Masih ada orang berhati mulia di dunia ini, saya berasa sangat lega kerana perempuan dan anaknya itu selamat dan kereta juga tidak hilang," tambah Lisa Moraitis.
"Kebanyakan rakaman video jenayah yang saya lihat sebelum ini, tiada individu berani masuk campur, tetapi tindakan pekerja lelaki tu sangat bagus dan wajar dipuji," jelas DelilahM.
Menurut laporan semasa, pekerja terbabit mula menyedari kejadian itu apabila terdengar jeritan daripada mangsa ketika kunci keretanya dirampas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram