Wanita disimbah asid gara-gara kekasih cemburu


  • Benua
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita meluru masuk ke sebuah salon selepas disimbah asid oleh kekasihnya.

DETIK cemas melanda seorang wanita apabila dia dilihat meluru masuk ke sebuah salun bagi meminta pertolongan akibat disimbah asid oleh kekasihnya.

Rakaman video tular itu difahamkan berlaku di Don Mueang, Bangkok, Thailand selepas kedua-dua pasangan kekasih berkenaan dilaporkan terlibat dalam satu pergaduhan.

Menerima lebih 10 juta tontonan di TikTok, kejadian itu dilaporkan berlaku berhampiran sebuah salon rambut selepas wanita tersebut dilihat berlari ke arah tandas untuk membilas asid berkenaan.

Wanita itu kini dirawat di hospital dan mengalami kecederaan yang agak teruk manakala teman lelakinya kini diburu oleh pihak berkuasa.

Siasatan awal mendapati, motif serangan difahamkan berpunca daripada kes cemburu dan iri hati antara kedua-dua pasangan tersebut yang mengakibatkan berlaku keganasan antara mereka berdua.

Susulan kejadian itu, warganet mencadangkan agar larangan serta peraturan lebih ketat dikuatkuasakan terhadap penggunaan bahan asid.

Menurut perkongsian ramai, perbuatan membilas ataupun mencuci dengan air sehingga bersih adalah berbahaya. Air yang bercampur dengan bahan kimia boleh menyebabkan asid merebak lebih teruk di bahagian kulit.

Mangsa simbah asid perlu menyerap segala air asid dengan kain atau tisu bersih sebelum boleh dibilas dengan air. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram