Kencing di puncak gunung, pelancong cetus kemarahan penganut Hindu


  • Benua
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang pelancong bertindak biadab kencing di puncak Gunung Bromo, jJawa Timur, Indonesia.

PERBUATAN seorang pelancong membuang air kecil di puncak Gunung Bromo, Jawa Timur, Indonesia mengundang kemarahan penganut agama Hindu kerana tidak menghormati kesucian lokasi itu.

Pelancong berkenaan yang dipercayai berasal dari Jerman dikatakan sengaja membuang air bagi meraikan kejayaan setibanya di puncak gunung.

Tular di laman media Instagram, rakaman video berkenaan dimuat naik menerusi akaun Djelantik yang difahamkan diambil daripada akaun peribadi pelancong itu.

Rata-rata penduduk di kawasan meminta agar para pelancong membuat kajian terlebih dahulu mengenai isu sensitiviti serta kehormatan agama Hindu sebelum menaiki ke Gunung Bromo.

Perbuatan itu bukan sahaja satu penghinaan, malah dikhuatiri bakal menjadi ikutan pengunjung lain dan trend semasa sekiranya ia tidak dihentikan.

Menerima pelbagai kritikan serta kecaman daripada netizen, pelancong itu akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka di akaun Instagram peribadinya.

"Wahai rakyat Indonesia yang dihormati, Jawa, Bali, Suku Tengger khususnya dan semua penganut Hindu yang kami hina, sekali lagi kami ingin memohon maaf berikutan kejadian itu.

"Kami berasal dari sebuah negara kecil di Eropah dan sudah terbiasa berada di kawasan pergunungan dan saya sebenarnya tidak tahu bagaimana rupa kuil suci Bromo bagi masyarakat Hindu.

"Malangnya di Eropah, kami tidak didedahkan dengan budaya Hindu dan kurang pengetahuan tentang hal agama itu," katanya.

Tambahnya lagi, dia telah menghubungi pegawai Taman Negara Bromo dan juga memohon maaf kepada masyarakat beragama Hindu dan suku kaum Tengger.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghubungi kami dan menjelaskan perkara itu.

"Kami belajar daripada kesalahan dan berharap pelancong lain juga turut mengambil peristiwa ini sebagai pengajaran untuk tidak melakukan perkara yang sama," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram