Bengang motosikal kena tarik, wanita benci lihat barang berhutang lepas geram guna batu


  • Benua
  • Rabu, 14 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita bertindak ganas apabila menghempas motosikal dengan batu sehingga pecah.

GARA-gara motosikal ditarik akibat gagal membayar ansuran bulanan, seorang wanita bertindak merosakkan kenderaan tersebut menggunakan batu.

Dikongsikan di laman Instagram, wanita di Indonesia itu dilihat mengetuk batu pada sebuah motosikal di pusat pameran tanpa henti untuk melepaskan geram sehingga rakaman video itu tular dalam kalangan netizen.

Perbuatan itu menyebabkan kerosakan pada motosikal tersebut apabila bahagian hadapannya kemek dan nombor pendaftaran kenderaan itu tercabut daripada kedudukannya.

Difahamkan, perbuatan itu terjadi selepas motosikalnya ditarik oleh pihak kedai akibat gagal membuat bayaran bulanan sekaligus menyebabkan dia benci melihat barangan yang dijual secara ansuran.

Meskipun bersama anaknya yang dalam lingkungan usia lima tahun, wanita tersebut enggan berhenti melepaskan geramnya dengan mengetuk motosikal menggunakan batu sebelum akhirnya beredar meninggalkan lokasi kejadian.

Menerima lebih 620,000 jumlah tontonan di Instagram, rata-rata warganet turut meninggalkan komen susulan kejadian itu.

“Ibu saya selalu berpesan kalau nak beli sesuatu, utamakan dahulu barangan itu sama ada ia mampu dimiliki ataupun tidak jangan sampai menyesal di kemudian hari,” kata delviazaari.

“Beli secara tunai lebih selamat walaupun mahal, sekurang-kurangnya tidak berhutang dan mengikut kemampuan,” tambah ndgfirmino.

“Kalau tidak mahu ditarik, sebaiknya bayar secara tunai ataupun jika membuat pembelian secara ansuran maka jangan pernah terlambat untuk membuat bayaran,” jelas ssswldnn. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram