Main bola ke bertinju? Riuh sekampung bergaduh atas padang


  • Benua
  • Rabu, 07 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan pergaduhan terjadi antara kedua pasukan berikutan salah faham yang terjadi selepas tamat perlawanan.

SEKUMPULAN remaja ditangkap selepas terlibat dalam satu pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Praya, Lombok Tengah, Indonesia baru-baru ini.

Pergaduhan itu melibatkan beberapa penduduk di Dusun Mentokok dan Dusun Selanglet apabila kedua-dua kampung berkenaan sebelum itu mengadakan satu perlawanan persahabatan bola sepak.

Difahamkan, pertelingkahan itu berpunca daripada salah faham yang berlaku antara kedua pasukan dan masing-masing dilihat melempar batu dan memukul satu sama lain sebaik tamat permainan.

Beberapa orang mengalami kecederaan dan luka kerana dipukul namun tiada sebarang insiden pertumpahan darah dilaporkan berlaku.

Menurut laporan, suspek yang menimbulkan kekecohan telah ditangkap pihak polis dan wakil ketua kampung juga turut ditahan bagi membantu siasatan polis.

Turut hadir di balai polis Lombok Tengah adalah penduduk kampung serta AJK kejohanan bola sepak tersebut.

Hasil rundingan, kedua-dua pihak akhirnya mencapai kata sepakat dan saling bermaafan berikutan pergaduhan yang berlaku dan satu perjanjian damai ditandatangani oleh ketua kampung.

Ketua Kampung Mentokok, Lalu Suharto berkata, masalah itu diselesaikan secara baik dan segala kecederaan serta kerosakan berada di bawah tanggungjawab pengurusan kejohanan tersebut.

"Permohonan maaf telah dibuat oleh penduduk kampung Mentokok kepada Selanglet kerana menimbulkan kekecohan terlebih dahulu.

"Akibat pertempuran itu, sekurang-kurangnya dua penduduk mengalami kecederaan dan segala kerosakan akan diganti rugi oleh pihak pengurusan perlawanan," katanya.

Namun, pihak polis dilaporkan akan sentiasa memantau aktiviti dan pergerakan penduduk di kawasan terbabit bagi mengelak daripada sebarang perkara tidak diingini berlaku susulan insiden terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram