Motor calar sebab bergesel, rider ‘masak kena lauk’ tak ingat dunia


  • Benua
  • Selasa, 06 Sep 2022

Insiden pergaduhan itu dirakam CCTV dan tular di media sosial.

GARA-GARA bergesel motosikal, dua lelaki Indonesia berselisih faham hingga membawa kepada pergaduhan besar.

Polis Kota Gorontalo mendedahkan kronologi kejadian geng rider (teksi motosikal online) di Gorontalo, Indonesia pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gorontalo, Ardi Rahananto berkata, ketika itu, suspek dikenali sebagai RM, 25, menunggang motosikal di Jalan HB Jassin, berdekatan persimpangan Pasar Raya Gelael.

Pada masa sama, mangsa bernama Fitriyanto Kasim, 27, turut menunggang di laluan sama sebelum kedua-dua motosikal itu bergesel secara tidak sengaja.

Suspek yang naik darah tiba-tiba mengejar Fitriyanto. Dia turut mengajak dua rakan lain untuk berjumpa dengan mangsa di sebuah cawangan kedai Alfamart di kawasan Bulatan Saronde, Jalan HB Jassin.

Fitriyanto yang rasa terancam kerana berdepan tiga orang lawan kemudiannya merendahkan nada suaranya sebelum meminta maaf kepada RM.

Namun, dia dibalas dengan layangan tumbukan oleh suspek. Mangsa mempertahankan diri tetapi dia terus dibelasah oleh rakan-rakan suspek hingga berlumuran darah.

Insiden pergaduhan itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial hingga menyebabkan ratusan rider merusuh di balai polis untuk mendesak mereka membuat penahanan terhadap suspek kerana membelasah rakan sekerja mereka.

Mangsa pada masa sama membuat laporan polis di Pejabat Polis Gorontalo.

Ketiga-tiga suspek kemudian menyerah diri manakala dua barang bukti turut dirampas untuk siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram