Kecoh seluruh Taman Setapak, warga emas berkelakuan pelik simen kereta, rumah


  • Tular
  • Ahad, 04 Sep 2022

Tangkap layar video tular operasi bomba memecahkan tembok simen di hadapan pintu rumah seorang warga emas di Taman Setapak. — TikTok

SATU kejadian pelik melibatkan seorang lelaki warga emas menyimen sebahagian daripada kawasan rumahnya menjadi tanda tanya penduduk setempat.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di salah sebuah rumah di kawasan perumahan di Jalan Cengal Selatan, Taman Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Melalui video yang dimuat naik akaun TikTok bigbossm_iqbal97 menunjukkan orang awam berkumpul di hadapan rumah berkenaan.

Turut kelihatan kenderaan bomba dan polis yang diparkir di tepi jalan.

Hasil pemerhatian Majoriti, difahamkan warga emas tersebut mengalami masalah tekanan jiwa hingga mendorongnya menutup sebahagian rumahnya dengan simen.

Rakaman yang tular itu mendapat sejumlah 203,200 tontonan.

Sementara itu, di ruangan komen, Unlucky berkata, keluarga mangsa meminta bantuan polis untuk membawa lelaki terbabit ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan psikiatri.

"Abang bomba pula bantu potong kunci mangga sebab dia dah seal pintu guna simen dan kunci," katanya.

"Memang tertanya-tanya, kat rumah ni buat tembok kecil dekat pagar, pakcik tu memang tak keluar rumah ke apa yang dia tampal kat kereta dia," ujar May Mariza.

Bomba

Anggota bomba memecahkan tembok simen yang dibina di hadapan pintu bagi memotong mangga berkunci. — Ihsan Bomba Setapak.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis melalui talian MERS 999 pada pukul 9.45 malam Sabtu.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Mohd Anuar Ali, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada pukul 9.58 malam, pihak polis meminta bantuan untuk memotong mangga pintu.

Anggota bomba bertindak memecahkan tembok simen yang dibina di hadapan pintu bagi memotong mangga yang berkunci.

Seorang lelaki dewasa warga emas yang berada di dalam rumah telah dikeluarkan dengan selamat.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.05 tengah malam Ahad dan lelaki warga emas itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram