Berang kena kerumun, lelaki mabuk belasah kanak-kanak 13 tahun


  • Benua
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Tangkap layar video tular memaparkan suspek sedang membelasah kanak-kanak tersebut.

BELUM bertemu buku dengan ruas. Demikian pepatah yang sesuai digambarkan oleh seorang lelaki apabila bertindak seperti pengecut apabila memukul seorang kanak-kanak di tempat awam pada minggu lalu.

Menerusi sebuah video tular, Regan Coultas, 46, dilihat bergaduh dan membelasah seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, dalam kejadian di luar sebuah kedai serbaneka di Valencia, di Santa Clarita, dekat California.

Ketika kejadian, mangsa dilihat sukar mempertahankan diri berikutan kudrat yang tidak kesampaian, jika dibandingkan dengan kekuatan lelaki dewasa itu yang melakukan serangan berterusan.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian meminta suspek untuk menghentikan aksi ganas itu.

"Seseorang hubungi 911. Apa yang kamu lakukan?" kata seorang saksi yang kedengaran menangis.

"Dia (kanak-kanak) itu hanyalah seorang budak darjah lapan," jerit seorang lagi saksi.

Susulan pergaduhan itu, suspek ditangkap dan didakwa pada Selasa kerana melakukan jenayah penderaan kanak-kanak.

Suspek kemudian dibebaskan pada pukul 10 malam Rabu dengan ikat jamin sebanyak AS$10,000 (RM44,720) dan dituduh di mahkamah pada Khamis.

Menurut seorang saksi yang juga pekerja di sebuah kedai kopi berdekatan, pergaduhan bermula apabila suspek yang didakwa mabuk mengadu tentang sekumpulan kanak-kanak sekolah mengerumuninya di dalam premis itu.

template (26)

Saksi (baju hitam) mendakwa, suspek berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Suspek sudah pun memberi amaran untuk tidak mendekatinya, selain mengugut akan memukul mereka jika ingkar.

"Sebagai lelaki, mereka seakan-akan tercabar dan melawan kata-kata suspek, seterusnya menyebabkan suspek berang dan mengejar mereka," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram