Baru bersalin 2 bulan, wanita maut sertai acara lari dalam guni


  • Benua
  • Jumaat, 19 Ogos 2022

Penduduk dan keluarga segera membawa mangsa ke klinik kesihatan berhampiran namun mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mendapatkan rawatan.

KEMERIAHAN sambutan Hari Kemerdekaan ke-77 Republik Indonesia di Kampung Gunung Bubut, Cipawitra, Mangkubumi, Tasikmalaya, Indonesia pada Rabu bertukar tragedi apabila seorang wanita maut ketika pertandingan lumba lari dalam guni.

Wanita itu yang juga merupakan seorang ibu meninggal dunia selepas jatuh ke tanah dan kepalanya terhentak pada tanah semasa perlumbaan berkenaan.

Rakaman wanita itu ketika pertandingan lumba lari dalam guni.

Dilaporkan juga bahawa wanita tersebut baru sahaja bersalin dua bulan lalu namun masih ingin mengambil bahagian untuk memeriahkan hari ulang tahun kemerdekaan Indonesia itu.

Berdasarkan video yang dikongsi dalam media sosial, kelihatan wanita itu bertanding bersama dua peserta lain.

Video itu juga menunjukkan orang ramai bersorak kepada peserta pertandingan dengan Rini berada paling hadapan.

Namun, musibah berlaku apabila mangsa menamatkan separuh perlumbaan dengan laluan pergi dan balik.

Seorang penduduk yang merakam aksi mangsa dalam perlumbaan itu cuba memanggil namanya tetapi mangsa tidak bertindak balas.

Penduduk dan keluarga segera membawa mangsa ke klinik kesihatan berhampiran namun mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mendapatkan rawatan.

Seperti yang dilaporkan Detik News, Ketua Polis Mangkabumi, Hartono mengesahkan insiden itu.

“Menurut keterangan keluarganya, Rini mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan ketika kejadian, dia baru dua bulan melahirkan anak.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan jenazah Rini sudah dikebumikan,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram