Sifatkan kumpulan Palestin pengganas, Israel dikecam institusi Arab


  • Benua
  • Isnin, 25 Okt 2021

KENYATAAN Parti Pekerja Tunisia turut ditandatangani oleh 13 institusi termasuk dari Tunisia, Morroco, Palestin, Jordan, Mauritania, Lubnan, Mesir, Syria, Kuwait dan Bahrain. — Agensi

TINDAKAN negara haram Israel yang mengklasifikasikan enam kumpulan hak asasi manusia Palestin sebagai organisasi pengganas dikecam oleh beberapa institusi Arab.

Parti Pekerja Tunisia berhaluan kiri mengeluarkan kenyataan itu yang turut ditandatangani oleh 13 institusi, termasuk dari Tunisia, Maghribi, Palestin, Jordan, Mauritania, Lubnan, Mesir, Syria, Kuwait dan Bahrain.

"Kami mengutuk klasifikasi ini dan menganggap ia sebagai sebahagian daripada dasar penjajahan Zionis yang merampas hak-hak rakyat Palestin.

"Pengganas sejati diwakili dan diwujudkan oleh negara Zionis, yang mengikut sejarah didirikan oleh kumpulan pengganas dan penjenayah bertujuan untuk merampas tanah, membunuh serta mengusir rakyat Palestin," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk menolak klasifikasi keganasan itu, selain akan melakukan solidariti dengan organisasi bukan kerajaan Palestin secara berterusan.

Jumaat lalu, Israel menuduh enam kumpulan hak asasi manusia Palestin mempunyai kaitan dengan Barisan Pembebasan Popular Palestin (PFLP), sebuah kumpulan yang diharamkan oleh rejim pengganas Israel.

Enam organisasi tersebut adalah Persatuan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Penjara Addameer, Pusat Hak Asasi Manusia al-Haq, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Bisan, Pertahanan kanak-kanak Antarabangsa Palestin, Kesatuan Jawatankuasa Kerja Pertanian dan Kesatuan Jawatankuasa Wanita Palestin.

PFLP adalah kumpulan kedua terbesar dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1970-an dan telah dipilih sebagai ahli Majlis Perundangan dalan pilihan raya Parlimen terakhir Palestin pada 2006. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Palestin, Israel, Tunisia