Arab Saudi tarik semula larangan terhadap pelancong 20 negara


  • Benua
  • Khamis, 26 Ogos 2021

ARAB Saudi menarik semula sekatan yang dikenakan terhadap pelancong dari 20 buah negara. — Agensi

ARAB Saudi menarik semula sekatan yang dikenakan terhadap pelancong dari 20 buah negara - keputusan yang diambil pada Februari lalu - bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dalam kenyataannya berkata, pengecualian itu begitupun hanya diberikan kepada pelancong yang telah mendapat suntikan vaksin sepenuhnya di Arab Saudi sebelum bertolak ke negara asal mereka.

Larangan itu turut mengecualikan warga Arab Saudi, diplomat asing, pengamal kesihatan dan keluarga mereka.

Pengumuman itu dilakukan ketika Arab Saudi mencatatkan tujuh kematian baharu berkaitan Covid-19 pada Selasa, sekali gus meningkatkan jumlah kematian menjadi 8,497.

Pelancong yang ingin kembali ke negara mereka harus menjalani ujian kesihatan bagi memastikan mereka bebas dari jangkitan.

Larangan masuk sebelum ini dikuatkuasakan Arab Saudi angkara lonjakan kes global berkaitan dengan varian virus Covid-19 yang dikesan di England, Afrika Selatan dan Brazil selain bimbang vaksin yang dilancarkan di seluruh dunia kurang berkesan.

Negara-negara yang disekat meliputi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Lubnan, Turki, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman, Perancis, Itali, Ireland, Portugal, Switzerland, Sweden, Brazil, Argentina, Afrika Selatan, India, Indonesia, Pakistan dan Jepun.

Peraturan itu turut dikenakan untuk pelancong yang singgah secara transit ke 20 buah negara berkenaan dalam tempoh 14 hari sebelum berkunjung ke Arab Saudi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Arab Saudi, Covid-19, larangan masuk