SATU serangan peluru berpandu Israel di pangkalan udara di Syria pada Jumaat membunuh sekurang-kurangnya dua pejuang asing dan mencederakan beberapa anggota perkhidmatan Syria yang bersekutu dengan Damsyik.
Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, dua warga asing tersebut terbunuh dalam serangan di pangkalan udara T4 pada Jumaat, tetapi tidak diketahui dengan jelas kewarganegaraan mereka.
Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, kira-kira jam 9 malam, musuh Israel itu melepaskan tembakan peluru berpandu ke arah lapangan terbang tentera T4.
"Serangan itu mencederakan enam tentera dan mengakibatkan beberapa kerosakan material," tambahnya.
Badan pemantau itu berkata, serangan itu menyasarkan sebuah depot dron di pangkalan.
Seorang jurucakap tentera Israel yang dihubungi AFP menyatakan, tentera tidak memberi komen mengenai laporan media asing.
Sejak perang saudara Syria pada 2011 meletus, Israel secara rutin melakukan serangan udara di Syria, yang kebanyakannya menyasarkan pasukan Hizbullah Iran dan Lubnan yang bersekutu dengan rejim Damsyik serta pasukan tentera Syria.
Tentera Israel jarang mengakui serangan secara individu tetapi berulang kali mengatakan bahawa ia tidak akan membiarkan Syria menjadi kubu kuat musuhnya, Iran. — AFP