Tangan dikat, dikurung akibat culas bayar hutang lebih RM9,000


  • Benua
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Mangsa sama sekali tidak dibenarkan keluar dari rumah suspek kerana belum melunaskan hutang. — Gambar hiasan

GARA-GARA tidak membayar hutang bernilai Rp31 juta (RM9,270), seorang warga Aceh dikurung di Jambi, Indonesia lebih sebulan.

Mangsa yang dikenali sebagai Ya, 37, berasal dari Dusun Balee, Kecamatan Syamtalira Bayu, dekat Kabupaten Aceh Utara.

Sementara itu, suspek dikenali sebagai PA, 35, berasal dari Simpang Margoyoso, di Kecamatan Tabir Selatan, dekat Kabupaten Merangin, Jambi.

PA ditahan bersama dua lagi suspek dikenali sebagai B dan H.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarolangun, Kompol Sandi Muttaqin berkata, hutang Rp31 juta (RM9,270) berpunca daripada aktiviti jual beli ikan antara suspek dan mangsa.

Beliau berkata, suspek mengurung mangsa tanpa sebarang penyeksaan, namun mangsa diikat dengan tali jemuran.

Katanya, ketika ditemui di lokasi pengurungan, mangsa berada dalam keadaan sihat.

Mangsa hanya dilarang keluar kerana dia belum melunaskan hutang.

"Tiada tanda-tanda keganasan, malah mangsa bebas melakukan apa sahaja di rumah di bawah pengawasan suspek," kata Sandi.

Akibat perbuatannya itu, suspek disyaki dengan sengaja menahan kebebasan seseorang dan boleh didakwa mengikut Pasal 333 ayat 1 KUHP, yang boleh dikenakan hukuman maksimum lapan tahun penjara.

Ketua Polis Jambi, Kombes Pol Mulia Prianto berkata, kejadian penculikan itu terbongkar selepas dilaporkan oleh penduduk tempatan.

Menerusi laporan itu, Mulia berkata, polis segera menahan ketiga-tiga suspek.

"Ketiga-tiga suspek ditahan di Perumahan Gunung Kembang 2, Kecamatan Sarolangun, dekat Sarolangun," kata Mulia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

culik, lunas hutang, Aceh, tali jemuran,